KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sebagai usaha menyokong pembangunan semula sukan bola sepak di ibu negara.
Beliau berkata kerajaan sentiasa menggalakkan pembangunan bola sepak yang disifatkan sebagai sukan rakyat, namun menekankan bahawa penambahbaikan prasarana menjadi aspek utama dalam memajukan sukan berkenaan.
“Ini satu kesempatan bagi kita mengangkat martabat bola sepak tanah air , tetapi ia bermula daripada asas. Sebeb itu, apa yang diutarakan tadi tentang kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi atau institut-institut latihan yang lain, itu penting.
“Ia bukan sekadar soal dana semata-mata, tetapi juga meliputi kemudahan padang, pusat latihan serta akademi yang lengkap supaya anak-anak dapat dilatih dengan baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi merangkap penaung KLFA Datuk Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan menjaga budaya kesukanan, khususnya tingkah laku penyong yang kadangkala bertindak di luar batas sehingga mencemarkan semangat perpaduan.
“Terdapat gerombolan penyokong-penyokong itu kadangkala tidak terkawal….Kalau kalah, tidak semestinya dicerca. Kalau yang bertarung itu sudah bekerja sedaya upaya, kita harus menang, kita mesti menang tetapi jangan cerca orang yang kalah. Ini budaya budaya bangsa kita. Ia adalah budaya yang diimport... hooliganism,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau serta mengawal sebarang insiden yang boleh menjejaskan imej bola sepak negara, sejajar dengan matlamat sukan sebagai medium perpaduan dan gaya hidup sihat.
Beliau berkata persatuan seperti KLFA turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan semangat kesukanan dan nilai perpaduan terus dipelihara dalam kalangan penyokong dan pemain.
Dalam majlis itu, KLFA turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pembangunan bola sepak di peringkat sekolah serta Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih jurulatih dan memperkasakan program pembangunan belia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial