BANTING, 13 Julai (Bernama) -- Hanya seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi feri karam di Selat Bali, Indonesia lewat malam 2 Julai lepas, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata tidak ada mangsa lain melibatkan warganegara ini dilaporkan dengan rakyat Malaysia yang terkorban itu juga sudah selamat dikebumikan.
“Setakat ini tiada lagi (mangsa baharu libatkan warga Malaysia), tetapi usaha mencari masih dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat yang dihadiri 460 perwakilan daripada 90 cawangan di Dewan Sri Jugra di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata mana-mana pihak boleh menyalurkan bantuan berkaitan bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.
Pada 11 Julai lepas, media melaporkan seorang rakyat Malaysia, Fauzey Awang, 55, disahkan antara tiga mangsa yang ditemukan maut di perairan Pantai Perancak, Bali susulan tragedi feri Tunu Pratama Jaya yang karam 2 Julai lepas.
Jenazah Allahyarham yang berasal dari Terengganu selamat dikebumikan di Jawa Timur pada malam Jumaat, memenuhi hasrat terakhirnya untuk disemadikan berhampiran makam gurunya dan berdekatan dengan isterinya di Indonesia.
Fauzey yang bekerja di Malaysia dilaporkan sering berulang-alik ke Indonesia setiap tiga bulan untuk bertemu isterinya.
Feri yang dinaikinya membawa 65 penumpang dan 22 kenderaan sebelum karam di perairan Selat Bali pada malam 2 Julai, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi menuju ke Bali.
Setakat Jumaat, seramai 47 orang telah dikenal pasti, membabitkan 30 mangsa terselamat dan 17 terkorban.
Beberapa orang lagi masih hilang, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial