KUALA NERUS, 13 Julai (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan jalan dan tebing di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit di sini dijangka siap sepenuhnya awal Oktober ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata sejak dimulakan pada April, kemajuan projek yang melibatkan jarak 280 meter itu telah mencapai 72.24 peratus setakat ini, 13 hari lebih awal daripada jadual asal.
“Projek ini yang melibatkan peruntukan RM4.95 juta menunjukkan prestasi yang baik dari segi pelaksanaan kerja serta pengurusan kewangan. Projek ini adalah peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), jadi ia (diberikan kepada) kerajaan negeri.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) hanya membantu dari segi teknikal untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja membaiki runtuhan jalan dan tebing di Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini hari ini.
Sementara itu, Nanta berkata antara skop utama kerja melibatkan pembersihan runtuhan, kerja-kerja geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, kerja-kerja tambakan pasir serta penstabilan struktur tanah.
Beliau berkata semua kerja berkenaan dijalankan secara teliti bagi memastikan ketahanan dan keselamatan jangka panjang infrastruktur berkenaan.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR ingin memberi jaminan bahawa projek di negeri ini akan terus dipantau rapi agar dapat disiapkan mengikut jadual, spesifikasi mutu dan kos. Penduduk sekitar dan pengguna jalan raya diminta untuk terus memberi kerjasama dan mematuhi segala arahan keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial