Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kedudukan PM Kukuh, Perhimpunan Hanya Cetus Kebimbangan Rakyat

14/07/2025 08:41 PM

IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kukuh dan tidak akan terjejas oleh sebarang usaha untuk menggugat beliau termasuk melalui Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini.  

Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam Kerajaan MADANI.

“Usaha menggugat kedudukan Perdana Menteri melalui himpunan juga tidak memberi kesan terhadap kestabilan politik semasa selain tiada hala tuju yang jelas.

“Ia lebih bersifat menangguk di air keruh dan hanya mencetuskan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI Parlimen Tambun di pekarangan Masjid Al-Amin di sini malam tadi.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata pihaknya yakin rakyat semakin bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan himpunan yang didalangi pemimpin pembangkang.

"Bagaimanapun, kami tetap menjunjung prinsip demokrasi dan tidak menghalang hak mereka untuk berkumpul seperti yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan kini lebih menumpukan usaha untuk menstabilkan kos sara hidup, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan penyampaian dasar dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Muhammad Kamil ketika mengulas mengenai karnival itu memaklumkan ia disertai lebih 10,000 pengunjung dari seluruh Perak sepanjang dua hari penganjuran bermula Sabtu lepas.

Beliau berkata objektif utama penganjuran adalah untuk memperkasakan peranan agensi bagi menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian dalam komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam diri serta masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan