Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menyingkap Rahsia Keistimewaan Taugeh Ipoh

14/07/2025 10:43 AM

IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Taugeh Ipoh dengan keenakannya yang rangup dan manis apabila dikunyah, sememangnya mendapat tempat istimewa di hati penggemarnya.

Sayuran berkahasiat tinggi khasiat itu sememangnya terkenal berbanding dengan taugeh dari tempat lain kerana teksturnya yang lebih rangup, rasa sedikit manis dan “gemuk”.

Di sebalik keunikan tersebut, pasti ada rahsia mengapa taugeh keluaran Buntong, mendapat tempat di pasaran, bukan hanya di Perak malah di beberapa negeri jiran termasuk di Selangor, dalam kalangan individu dan peniaga kedai makan.

Seorang pengusaha taugeh Ipoh yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata rahsia keenakan taugeh Ipoh terletak pada sumber air yang digunakan dalam proses penghasilannya.

“Di sini penghasilan menggunakan air mineral bawah tanah dari punca bukit batu kapur di kawasan sekitar kilang di sini, kawasan ini (Buntong) terletak di sekitar Lembah Kinta, membolehkan kelebihan itu dimanfaatkan untuk menghasilkan taugeh yang lebih istimewa dan tiada di tempat lain,” kata Sam yang berusia 40-an kepada Bernama. 

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata Buntong, sebuah kawasan dalam Lembah Kinta yang kaya dengan kawasan batu kapur, menjadi lokasi strategik kepada beberapa pengusaha taugeh yang mengepam air mineral secara terus dari bawah tanah, bagi mengusahakan perniagaan taugeh.

Beliau berkata air batu kapur itu dikatakan tinggi dengan kandungan mineral, yang menyumbang kepada penghasilan taugeh yang lebih gebu, manis, berkualiti, kurang berbau dan tinggi kandungan kalsium.

Sam berkata untuk menghasilkan taugeh berkualiti, dia menggunakan kacang hitam yang diimport dari Myanmar, berukuran 3.25 milimeter.

“Proses bermula dengan rendaman kacang dalam tempoh tertentu, diikuti dengan proses penapisan bagi mengasingkan butir yang rosak. Hanya kacang terbaik yang akan digunakan, diletakkan dalam tong-tong besar, ia direndam dengan air pada suhu dan pencahayaan yang sesuai,” katanya.

Sam berkata kacang itu, perlu disiram air setiap empat jam sehari justeru operasi kilang dijalankan secara syif oleh para pekerja, bagi memastikan jadual siraman dipatuhi dengan tepat.

Ia penting kerana proses penghasilan taugeh amat sensitif terhadap masa, suhu dan kualiti air.

Sam berkata setelah enam hari, taugeh yang sempurna akan terhasil sedia untuk dibungkus dan dihantar kepada pemborong di seluruh Ipoh dan beberapa daerah lain di Perak.

“Nampak mudah, proses ini (hasilkan taugeh) sebenarnya susah (menuntut ketelitian tinggi). Kalau tak kawal masa dan suhu boleh menyebabkan taugeh menjadi rosak atau tidak berkualiti. Dalam sehari juga tiga hingga empat guni kacang hitam terpaksa dibuang, kerana tidak sesuai diproses menjadi taugeh,” katanya.

Sam berkata dia telah hampir 10 tahun mengusahakan perniagaan turun-temurun yang diwarisi daripada datuk dan bapanya, perniagaan yang telah berusia lebih 40 tahun itu mampu menghasilkan sehingga satu tan taugeh setiap hari.

Taugeh dihasilkan terdiri daripada dua jenis: pendek dan panjang, taugeh pendek dijual pada harga sekitar RM3 sekilogram, manakala taugeh jenis panjang dijual dengan harga lebih rendah dan taugeh yang dihasilkan ini mampu bertahan rangup selama tiga hari, jika disimpan dalam peti sejuk.

Sementara itu, seorang peniaga nasi ayam Amirah Hanis Mohammad Asri, 37, berkata dia memilih taugeh Ipoh kerana permintaan tinggi dari pelanggan.

“Saya berniaga nasi ayam chinese style, yang taugeh dihidang bersama, dan kebanyakan pelanggan memang mahu taugeh Ipoh jenis pendek dan gemuk, kerana ia lebih enak dan rangup, biasanya saya akan membeli stok setiap hari untuk menampung permintaan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan