Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Perkenal Dua Varieti Baharu Padi Bagi Tangani Isu Padi Angin

14/07/2025 03:20 PM

PASIR SALAK 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan dua varieti baharu padi untuk menangani isu berkaitan padi angin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dua varieti baharu itu, MR CL3 dan MR CL4 adalah hasil kerjasama strategik antara MARDI dan BASF (Malaysia) Sdn Bhd sejak 20 tahun lepas.

“MR CL3 dan MR CL4 mempunyai kelebihan matang lebih awal iaitu selama 99 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Cleafield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Berhad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr Azman Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Beliau berkata kedua-dua varieti itu juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan di bawah program inisiatif KPKM seperti penanaman padi lima kali dua tahun dan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Sementara itu, Mohamad berkata kaedah pengkomersilan varieti itu akan dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai imidazolinone (Trek) dan garis panduan penggunaan yang bertujuan mengawal masalah padi angin. 

Beliau berkata varieti MR CL3 dan MR CL4 merupakan padi yang dibiakkan khusus untuk mempunyai ciri rintangan terhadap racun rumpai imidazolinone. 

Terdahulu, Mohamad turut merasmikan bangunan baharu Kompleks Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Seberang Perak.

Padi angin ialah sejenis padi liar yang tumbuh bersama padi yang ditanam, tetapi mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan boleh menjejaskan hasil tanaman padi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan