Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPS Perak Mohon Operasi Pembenihan Awan Di Empangan Bukit Merah - Exco

14/07/2025 04:31 PM

IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah memohon kepada kerajaan negeri supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan operasi pembenihan awan pada bulan ini untuk meningkatkan paras air Empangan Bukit Merah di Bagan Serai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tindakan itu perlu disebabkan taburan hujan yang sangat rendah sejak Mei di sekitar empangan itu yang merupakan sumber air utama kepada penduduk daerah Kerian serta di bawah Rancangan Pengairan Kerian.

"Langkah awal penjimatan air dan bekalan melalui sumber alternatif diberikan kepada para pesawah melalui rumah-rumah pam dan pam-pam bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Nizar berkata JPS telah melaksanakan pengagihan secara catuan setelah paras Empangan Bukit Merah turun ke Aras Kritikal Pengairan Tahap 1, iaitu pada aras 23 kaki bagi memastikan kelangsungan bekalan pengairan dapat bertahan sehingga kadar alir masuk ke kolam stabil semula apabila musim hujan kelak. 

"Hebahan catuan dan langkah-langkah penjimatan telah dibuat JPS Kerian kepada petani bagi memastikan mereka sentiasa peka dan bersedia," katanya.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata bagi tindakan jangka panjang untuk meningkatkan takungan di empangan adalah dengan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.

Beliau berkata projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memberi impak dan faedah kepada takungan pengairan untuk Rancangan Pengairan Kerian. 

"Projek itu dijangka menyalurkan 1,500 juta liter per hari (MLD) iaitu 1,000 MLD kegunaan air domestik bagi utara Perak dan juga sebanyak 500 MLD untuk kegunaan Rancangan Pengairan Kerian," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan