Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PETRA Laksana Tujuh Projek Tenaga Untuk Pengguna Sabah, Labuan

14/07/2025 05:49 PM

KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengambil inisiatif melaksanakan tujuh projek tenaga di Sabah serta Labuan melibatkan peruntukan lebih RM260 juta sebagai usaha menyediakan bekalan elektrik lebih stabil untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata seramai 60,434 pengguna di Sabah dan Labuan akan menikmati tenaga elektrik lebih efisien menerusi pelaksanaan projek itu yang antara lain melibatkan kerja-kerja menaik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu dan sistem pemantauan keselamatan.

Beliau berkata projek seliaan Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) itu juga merupakan komitmen untuk menjamin bekalan elektrik lebih diyakini merangkumi Sipitang, Beaufort, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan, selain Labuan.

"Pelaksanaan projek-projek PETRA menerusi PPKBES ini telah memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Labuan serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna di seluruh kawasan terlibat.

"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, penyiapan projek-projek di bawah PETRA justeru membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di Sabah dan Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi penyerahan tujuh projek sektor tenaga tersebut sempena kunjungan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu (KKBU) di sini, hari ini.

Program julung kali diadakan di Sabah itu turut dihadiri Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Fadillah berkata projek PMU KKBU melibatkan pembinaan sebuah bangunan menempatkan kelengkapan suis berpenebat gas dan transformer bagi menggantikan sistem lama yang telah lapuk serta tiada alat ganti.

Katanya penyiapan projek itu turut menyokong pembinaan jajaran kabel baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik tersebut.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pembinaan menara talian sepanjang tujuh kilometer dari PMU Menggalong ke sempadan Sipitang, Sabah ke Lawas, Sarawak adalah antara projek tenaga berimpak tinggi di bawah PPKBES yang siap sepenuhnya pada 2 Sept tahun lepas.

Beliau berkata ia sedang menunggu penyiapan projek oleh Sarawak Energy dijadualkan pada September tahun ini, dan setelah siap, projek tersebut akan membolehkan sebanyak 30MW tenaga diimport dari Sarawak untuk pengguna di Sipitang.

"Grid ini direka untuk membawa kapasiti penghantaran sehingga 500MW menjadikannya antara infrastruktur penting dalam jaringan utama Grid Kuasa ASEAN yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Filipina bagi tujuan perkongsian tenaga rentas sempadan berdaya harap dan mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan