Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Bangkit Sebagai Paksi Strategik Dalam Tatanan Dunia Yang Sedang Berubah

14/07/2025 06:36 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berakhir dengan jayanya pada Jumaat lalu, jelas mengukuhkan peranan ASEAN sebagai pemain utama dalam diplomasi serantau di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin sengit.

ASEAN bukan lagi sekadar platform dialog, malah semakin dilihat sebagai pelaku penting yang mampu membentuk masa depan kestabilan dan keselamatan serantau, kerjasama ekonomi serta memperkukuh multilateralisme.

Sebagai tuan rumah AMM ke-58, Malaysia memperlihatkan keupayaan diplomasi yang tinggi, memimpin perbincangan peringkat tinggi antara Menteri-Menteri Luar ASEAN dan rakan luar mereka termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Kesatuan Eropah, India dan Jepun.

Profesor Madya Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Benny Teh Cheng Guan berkata penglibatan kuasa besar mencerminkan peranan penting ASEAN dalam diplomasi serantau dan keupayaannya mengemudi dinamik kuasa Indo-Pasifik yang berkembang.

Beliau berkata China berusaha menonjolkan diri sebagai rakan yang boleh dipercayai menerusi pendekatan ekonomi yang konsisten, manakala AS pula giat memperkukuh komitmennya di rantau ini melalui pendekatan diplomatik yang aktif bagi mengimbangi pengaruh Beijing.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyifatkan penyertaannya yang pertama dalam AMM sebagai “luar biasa”, sambil menegaskan komitmen Washington untuk terus menjadikan ASEAN sebagai platform diplomatik utama di Asia Tenggara.

Sementara itu, Menteri Luar China Wang Yi menegaskan ASEAN kekal sebagai keutamaan dalam dasar kejiranan Beijing dan rakan asas bagi memajukan masa depan serantau yang dikongsi bersama.

Beliau turut mengulangi komitmen China untuk mempertahankan tatanan global berasaskan peraturan yang berteraskan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan akan terus menyokong kedudukan ASEAN sebagai pemacu utama dalam menangani cabaran serantau.

“Mereka memberikan jaminan kepada ASEAN mengenai komitmen masing-masing terhadap rantau ini, sambil menegaskan peranan utama organisasi itu dalam diplomasi serantau di tengah-tengah persaingan kuasa besar.

“Ini menunjukkan kekuatan ASEAN dalam menentukan agenda dan menyediakan platform yang amat diperlukan oleh negara anggota untuk mengadakan libat urus strategik dalam pelbagai isu penting,” kata Teh kepada Bernama.

Beliau turut menyambut baik minat global yang semakin meningkat terhadap ASEAN, menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang mencerminkan pengaruh blok itu yang kian berkembang.

Katanya, daya tarikan ASEAN berpunca daripada gabungan unik antara kemajuan ekonomi, kestabilan politik dan populasi celik teknologi, menjadikan rantau ini sebagai rakan kerjasama menarik dalam landskap global yang sedang berubah.

“Namun, ASEAN harus berhati-hati agar peluasan kerjasama tidak membebankan blok ini, sebaliknya perlu memperkukuh kekuatan sedia ada,” katanya.

Teh menambah bahawa ASEAN perlu mengambil langkah proaktif bagi mengekalkan kerelevanan, mengukuhkan kerjasama dalaman dan mempertahankan prinsip multilateralisme.

“ASEAN perlu bekerjasama rapat dengan rakan dialog untuk mempertahankan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan dan norma multilateralisme, mengukuhkan kerjasama perdagangan intra-ASEAN serta menolak perlindungan dagangan, di samping mendesak pembaharuan bagi memperdalam integrasi dan mempelbagaikan aliran perdagangan,” katanya.

Acara selama empat hari itu yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencatat beberapa keputusan penting yang menegaskan prinsip asas perpaduan, berkecuali dan inklusiviti ASEAN.

Antaranya ialah kemajuan ketara berhubung Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata China bersetuju menandatangani Protokol SEANWFZ tanpa sebarang syarat sebaik semua dokumentasi berkaitan dimuktamadkan.

Beliau turut mendedahkan bahawa ‘dua hingga tiga’ negara pemilik senjata nuklear telah menghubungi Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, untuk menyambung semula rundingan mengenai perjanjian itu.

Berhubung Myanmar, AMM mengulangi gesaan kepada semua pihak berkepentingan agar menghentikan permusuhan dan keganasan serta menyertai dialog inklusif bagi meredakan krisis semasa sebagai prasyarat ke arah pilihan raya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau merancang untuk mengunjungi Myanmar pada September untuk menyampaikan “senarai harapan” kepada junta bagi memulihkan keamanan dan demokrasi di negara itu.

Mesyuarat AMM turut memperteguh sokongan terhadap kemasukan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, yang dijangka diumumkan pada Oktober.

Sempena mesyuarat itu, Malaysia turut menjadi tuan rumah Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) bersama Jepun dan Palestin, yang memberi tumpuan kepada pembinaan semula wilayah Palestin yang diduduki.

Di sebalik agenda utama, pelbagai pertemuan dua hala dan tiga hala turut berlangsung antara negara sekutu dan pesaing.

Antara yang paling menjadi tumpuan ialah pertemuan antara Rubio dan Wang, yang merupakan pertemuan bersemuka pertama mereka sejak pelantikan Rubio pada Januari.

Rubio juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Rusia, Sergey Lavrov, dengan perbincangan menyentuh isu global termasuk konflik Rusia-Ukraine serta kesediaan Moscow dan Washington untuk menyambung semula kerjasama peringkat tinggi.

Interaksi diplomatik ini bukan sahaja penting, malah bersifat simbolik - mencerminkan peranan penting ASEAN dan Malaysia sebagai penganjur dialog pada ketika dunia berdepan ketegangan global.

Walaupun mesyuarat peringkat menteri telah berakhir, usaha diplomatik diteruskan di belakang tabir sebagai persiapan ke arah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang bakal berlangsung pada Oktober.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan