Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PERZIM Jamin Pelihara Struktur Bastion Lama Di Banda Hilir

15/07/2025 01:07 PM

MELAKA, 15 Julai (Bernama) -- Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memberi jaminan struktur bersejarah dipercayai sebahagian daripada bastion Kota Melaka lama akan dipelihara berikutan lokasinya terletak dalam zon tapak warisan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). 

Pengurus Besarnya Erne Hamsah berkata ia susulan penemuan struktur berkenaan di tapak kerja pembinaan tempat letak kereta di hadapan Muzium Istana Melaka , Banda Hlir, yang sebelum ini merupakan Taman Larangan. 

"Kerja-kerja konservasi telah pun dimulakan dengan pelantikan pakar konservator dan arkeologi untuk menjalankan kajian cari gali di kawasan tersebut manakala pembinaan parkir di bawah seliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pula, kini mengalami penyusunan semula selepas penemuan struktur bersejarah itu.

"Kita memang akan pelihara (tapak tersebut) kerana antara dikenal pasti adalah struktur bastion lama yang penting dalam sejarah pertahanan Melaka dan pada masa sama sedang teliti bagaimana monumen itu boleh didedahkan kepada pengunjung tanpa menjejaskan kestabilan strukturnya memandangkan terdapat banyak faktor perlu diambil kira termasuk eleman alam sekitar seperti hakisan dan kerosakan fizikal," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Program Santai Warisan Sambutan Ulang Tahun ke-17 Melaka Bandaraya Warisan Dunia sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Sekolah Kebangsaan Duyong, Perkampungan Hang Tuah di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. 

Mengenai projek tempat letak kereta yang sedang dibangunkan, Ernie berkata hanya jajaran terlibat secara langsung dengan struktur arkeologi dihentikan sementara, manakala bahagian lain pembinaan diteruskan.

Bernama pada Jun lepas melaporkan hasil kajian ekskavasi arkeologi di tapak asas tangga Taman Larangan behadapan Istana Kesultanan Melaka di Banda Hilir menemukan struktur binaan kota Melaka yang 'dikambus' dengan binaan kota dan kubu pertahanan (bastion) oleh penjajah Portugis sebelum dinaik taraf oleh Belanda dan British.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan