Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sektor Perkhidmatan Profesional Catat Peningkatan Produktiviti Tertinggi Sejak 2020

15/07/2025 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sektor Perkhidmatan Profesional Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatatkan peningkatan tertinggi sejak lima tahun lepas, mencecah RM94,964 bagi setiap pekerja tahun ini, berbanding RM89,748 pada 2023.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian tersebut, menghampiri purata aras nasional sebanyak RM100,000, menjadikan sektor itu antara penyumbang utama dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan strategi pelaksanaan Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) yang merangkumi subsektor utama seperti guaman, kewangan, kejuruteraan, seni bina, pengurusan dan pengiklanan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail berkata pencapaian itu, mencerminkan peranan penting subsektor Perkhidmatan Profesional dalam memacu ekonomi, terutama melalui peningkatan digitalisasi, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta penambahbaikan kecekapan regulasi.

“MPC menyasarkan subsektor ini bukan sahaja mencapai, malah melangkaui penanda aras nasional dan menjadi contoh terbaik kepada amalan produktiviti tinggi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan tersebut menandakan Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju serantau dalam perkhidmatan profesional.

Sementara itu, Pengerusi PSPN Choo Kok Beng berkata peningkatan produktiviti itu, didorong oleh kolaborasi antara sektor awam dan swasta serta peranan institusi latihan dalam menyediakan ekosistem yang menyokong inovasi dan pertumbuhan berdaya tahan.

“Kami yakin subsektor ini mampu mencipta ekosistem mampan yang menyokong inovasi dan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan,” katanya.

MPC menegaskan komitmen untuk terus memperkasakan subsektor itu melalui pendekatan strategik dan intervensi bersasar, agar sektor perkhidmatan profesional kekal menjadi pemangkin kepada kelestarian ekonomi Malaysia.

Melalui pelaksanaan langkah proaktif itu, subsektor Perkhidmatan Profesional dijangka mencatat pertumbuhan produktiviti lebih memberangsangkan, sekali gus memperkukuh daya saing negara di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan