Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Majlis Media Malaysia Bebas, Urus Isu Industri Tanpa Campur Tangan Kerajaan - Fahmi

15/07/2025 04:17 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Pembentukan Majlis Media Malaysia (MMM) membolehkan isu berkaitan industri media diurus secara lebih terangkum, mampan dan bebas tanpa campur tangan pihak kerajaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata MMM akan beroperasi secara bebas daripada kawalan Kementerian Komunikasi dan diberi ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut fungsi yang telah digariskan.

“Saya harap dengan terbentuknya MMM, isu dihadapi rakan-rakan dalam industri media di negara kita dapat diuruskan secara lebih terangkum, mampan dan bebas.

“Yang paling penting, ia membolehkan pelbagai pihak memainkan peranan membantu memastikan media bukan sahaja terus bebas dan berdikari, tetapi juga beretika dan bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Lembaga Pengasas MMM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan watikah pelantikan kepada enam daripada 12 anggota Lembaga Pengasas MMM yang telah dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik serta komunikasi.

Pelantikan itu susulan penggubalan Akta MMM 2025 (Akta 868) yang berkuat kuasa 14 Jun lepas, bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat malumat yang sahih, berintegriti dan adil.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Lembaga Pengasas MMM dianggotai 12 individu terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.

Beliau berkata kerajaan bersedia membantu MMM dari segi perundangan dan pendanaan bagi memastikan majlis itu dapat bergerak dengan lancar, khususnya pada peringkat awal penubuhan.

“Saya lihat pada masa hadapan tidak mustahil MMM boleh beroperasi secara sepenuhnya (berdikari), itu tidak menjadi masalah. Terpulang kepada Lembaga Pengasas untuk mempertimbangkan cara pelaksanaannya. Sekiranya perlu, pihak kerajaan akan sentiasa mendampingi untuk membantu,” katanya.

Mengenai pendanaan, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi bersedia berbincang dengan Lembaga Pengasas MMM bagi mengenal pasti keperluan majlis berkenaan.

“Kita akan bincang selepas ini. Di pihak kementerian kita ada (dana), tetapi kita ingin tahu juga daripada lembaga pengasas mengenai keperluan mereka. Jadi kita akan adakan perbincangan dulu,” katanya.

Pada 2 Julai, Fahmi berkata kementeriannya sedang menyelaraskan usaha untuk memastikan dana bagi MMM dapat disediakan dalam masa terdekat dan satu pertemuan akan diadakan bersama-sama 12 anggota Lembaga Pengasas MMM, bagi urusan berkaitan majlis berkenaan.

Fahmi berkata Mesyuarat Agung Tahunan pertama MMM akan diadakan 7 Nov ini, namun lokasi mesyuarat itu akan diumumkan kelak.

“Pada Mesyuarat Agung Tahunan itulah ahli atau pun Anggota Lembaga baharu bagi MMM akan dipilih dan secara rasmi mereka akan mengemudi MMM ke depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan