Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keahlian MMM Dibuka Ogos, AGM Dijadual Pada November

15/07/2025 05:57 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Keahlian Majlis Media Malaysia (MMM) akan dibuka pada awal Ogos dan ditutup pada akhir September ini, dengan bayaran nominal sebanyak RM10, menurut Ahli Lembaga Pengasas MMM.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Lembaga Pengasas MMM oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, MMM memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui laman web www.majlismedia.my.

“Keahlian terbuka kepada pemilik media, profesional, individu dan organisasi dalam ekosistem media serta yang mewakili kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

MMM memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama dijadual berlangsung pada 7 Nov ini di Kuala Lumpur dan Ahli Lembaga baharu akan dipilih serta membincangkan struktur yuran keahlian, kod etika industri serta mekanisme aduan, belanjawan tahunan dan undang-undang kecil MMM.

Menurut kenyataan itu pada mesyuarat pertamanya, Ahli Lembaga Pengasas telah melantik Premesh Chandran sebagai Pengerusi Interim, sementara menunggu pemilihan penuh lembaga akhir tahun ini.

Menurut MMM, majlis itu merupakan badan kawal kendiri bebas industri media negara, akan memainkan beberapa peranan antaranya menggalakkan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab; menetapkan kod etika industri media serta menjadi jambatan komunikasi antara media kerajaan dan masyarakat.

“Peranan MMM akan meningkatkan profesionalisme industri media serta melindungi kepentingan awam dalam ekosistem media yang semakin mencabar,” menurut MMM.

MMM memaklumkan struktur majlis itu direka bagi memastikan keberperwakilan yang pelbagai dengan Ahli Lembaga Pengasas terdiri daripada wakil yang dipilih daripada penerbit media, profesional media, dan wakil berkepentingan awam, termasuk ahli akademik dan masyarakat sivil.

“Selain itu, kerajaan boleh melantik dua wakil. Penting untuk dinyatakan, Akta MMM 2025 menetapkan bahawa sekurang-kurangnya 25 peratus daripada ahli lembaga hendaklah dari Sabah dan Sarawak serta kepimpinan MMM perlu mencapai kesamarataan jantina. Ini yang pertama seumpamanya di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ahli Lembaga Pengasas MMM Phyllis Wong, yang juga Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo berkata beliau diberi tanggungjawab menggalas satu amanah yang besar dan terharu melihat komitmen bersama dalam menegakkan etika dan akauntabiliti media, walaupun MMM masih belum beroperasi sepenuhnya.

“Ini menandakan permulaan kepada suara bersama bagi kewartawanan bertanggungjawab di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ronnie Teo, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching berkata MMM membolehkan ahli lembaga itu membentuk satu platform bersama, yang sekian lama ditunggu-tunggu bagi menyatukan semua profesional media dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan