Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SIP: Lantikan Dibuat Secara Tender Terbuka Babitkan 26 Syarikat - Amirudin

15/07/2025 07:55 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan pelantikan Rantaian Mesra Sdn Bhd sebagai syarikat pengendali bagi pelaksanaan Sistem Parkir Pintar atau Smart Intelligent Parking (SIP) dibuat melalui tender terbuka. 

Beliau berkata pelantikan syarikat itu melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dilaksanakan selepas proses permintaan untuk cadangan (RPF) dikeluarkan, melibatkan penilaian terhadap 26 syarikat yang menyatakan minat.

"Kita terima permohonan dan MBI telah melakukan verification atau saringan dan kemukakan mana yang layak kepada kerajaan negeri.

“MBI meletakkan kepentingan negeri dan tidak melepaskan kepada mana-mana pihak sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik Plattform Selangor (PLATS) 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pelaksanaan SIP bertujuan menyelaras sistem kutipan parkir di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih sistematik dan efisien seiring dengan inisiatif Smart Selangor.

Fasa pertama yang bermula 1 Ogos ini melibatkan empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Antara objektif utama pelaksanaan sistem itu ialah meningkatkan kadar bayaran parkir yang kini hanya sekitar 30 peratus serta mengurangkan isu seperti parkir bertindih dan kekurangan penguatkuasaan.

Hasil kutipan akan dibahagikan sebanyak 40 peratus kepada PBT, MBI (10 peratus) dan syarikat konsesi (50 peratus).

Mengenai hasil kutipan, Amirudin berkata perkara itu boleh dibincangkan semula dengan syarikat konsesi serta PBT terlibat dengan mengambil kira kos tinggi yang telah dikeluarkan syarikat dilantik dalam menyediakan kemudahan termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

“Peratusan kutipan boleh dibincangkan semula tetapi diingatkan prosesnya bukan rundingan terus sebab 26 syarikat lain juga dibuat penilaian sebelum pemilihan dibuat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan