PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) dilancarkan hari ini sebagai satu mekanisme ukuran tahunan tahap keselamatan sempadan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata IKSN dibangunkan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dengan kerjasama strategi Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan menjadi alat penting untuk mengukur prestasi, keberkesanan dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan sempadan berasaskan data.
“Uniknya, indeks ini dibangunkan berdasarkan data yang sahih daripada 31 agensi, bukan hanya polis dan imigresen, tetapi merangkumi semua agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan sempadan negara.
“Kita membangunkan satu sistem berasaskan ‘cloud’ di mana agensi-agensi ini akan memasukkan data mengikut indikator yang telah ditetapkan. Kemudian, data dikumpulkan dua kali setahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Saifuddin berkata sebanyak 58 indikator digunakan bagi mengukur tahap keselamatan sempadan, melibatkan 31 agensi yang berkaitan.
Skala penarafan IKSN adalah seperti berikut Skala 0.0 - 1.0 (Sangat Selamat): Skala 1.1 - 2.0 (Selamat): Skala 2.1 - 3.0 (Sederhana Selamat): Skala 3.1 - 4.0 (Kurang Selamat) dan Skala 4.1 - 5.0 (Tidak Selamat).
Secara keseluruhan, 12 isu jenayah rentas sempadan dikenal pasti, antaranya pendatang tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata api serta penculikan untuk wang tebusan (KFR).
"Setakat ini, antara yang mencatat skor terbaik adalah penculikan untuk wang tebusan & rompakan di laut iaitu skor 0.00 dan penyeludupan senjata api iaitu skor 0.22," katanya.
Saifuddin berkata pengenalan IKSN akan menjadi panduan penting dalam penempatan aset dan anggota di kawasan sempadan berdasarkan data yang sahih dan tepat.
“Kita boleh kenal pasti lokasi hotspot sempadan yang memerlukan tambahan aset dan kekuatan keanggotaan, termasuk mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab.
“Ini juga menjadi asas permohonan bajet tahunan kepada Kementerian Kewangan atau Kementerian Ekonomi untuk memperkukuh kawalan sempadan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan sempadan negara kini berada pada keadaan yang selamat dan perkara itu amat penting bukan sahaja kepada negara, malah kepada keyakinan pelabur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial