Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KHSB Perkukuh Usaha Pemuliharaan Marin Melalui Program Penyu Angkat Bersama UMT, SEATRU

16/07/2025 06:35 PM

KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) -- Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyertai Program Penyu Angkat sebagai langkah menyokong usaha pemuliharaan penyu oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) di Chagar Hutang Turtle Sanctuary di Pulau Redang.

Ketua Pegawai Operasi KHSB Edi Abdul Rahim berkata inisiatif berkenaan yang dijalankan baru-baru ini adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya terhadap pemeliharaan biodiversiti marin, khususnya spesies penyu yang semakin terancam.

Beliau berkata ia selaras dengan aspirasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang merupakan syarikat induk KHSB dalam memperkasakan Matlamat Pembangunan Mampan demi kelestarian alam dan kesejahteraan masa depan.

“Sebagai simbolik kepada penglibatan KHSB dalam inisiatif ini, sebanyak 20 anak penyu telah dilepaskan ke laut, menandakan usaha berterusan dalam memastikan kelangsungan spesies marin itu untuk generasi akan datang.

“Aktiviti pelepasan ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat serta sektor korporat terhadap isu pemeliharaan alam semula jadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Di samping itu, katanya KHSB turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM53,000 kepada UMT untuk pembinaan Balai Saf, iaitu sebuah ruang solat yang akan memberi kemudahan kepada pengunjung dan sukarelawan yang terlibat di tapak konservasi terbabit. 

“Program penyu angkat ini juga menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara sektor korporat dan institut akademik, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif dalam agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan