Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bulan Kebangsaan 2025: Rakyat Diajak Kibar Jalur Gemilang Dengan Hormat

17/07/2025 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang akan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan memupuk budaya mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata pelancaran itu menjadi teras utama sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, dengan penekanan terhadap penghargaan kepada keamanan serta kedaulatan negara melalui simbol Jalur Gemilang.

“Kita mahu rakyat bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi melakukannya dengan cara yang betul dan penuh hormat. Pastikan bendera dalam keadaan baik, tidak lusuh atau koyak serta dipasang di tempat dan kedudukan yang betul,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV di sini hari ini.

Julina berkata program tahun ini turut menonjolkan pendekatan berteraskan rakyat dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat, selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.

Beliau berkata walaupun acara kemuncak dijadualkan pada 27 Julai, pengisian program akan bermula lebih awal iaitu pada 25 Julai menerusi penganjuran Karnival Kita MADANI.

“Karnival ini melibatkan dua komponen utama iaitu reruai perkhidmatan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan gigi percuma serta reruai keusahawanan yang menghimpunkan usahawan tempatan dengan pelbagai juadah istimewa Johor melalui trak makanan,” katanya.

Pada 26 Julai, pelbagai aktiviti kekeluargaan dan komuniti turut dianjurkan termasuk pertandingan mewarna serta persembahan kesenian dan kebudayaan tempatan.

Acara kemuncak pada 27 Julai akan dimulakan dengan Merdeka 6.8 KM Fun Run & Walk yang terbuka kepada semua dan pendaftaran adalah percuma.

“Selain itu, program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang serta konvoi melibatkan aset pengangkutan air turut memeriahkan acara peluncuran ini,” katanya.

Julina berkata program tiga hari itu menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dengan pelbagai tarikan termasuk diskaun saman trafik sebanyak 30 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penyediaan kaunter khas oleh Majlis Perbandaran Muar.

“Inisiatif seperti ini jarang ditawarkan, jadi saya menyeru orang ramai agar merebut peluang ini. Kita mahu pelancaran ini menjadi pemangkin semangat kenegaraan dan mengukuhkan rasa cinta kepada tanah air.

“Lebih penting, ia menjadi permulaan kepada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lebih meriah. Semua pihak digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja di kediaman tetapi juga di premis dan organisasi di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan