KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkukuh, menambah baik dan meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) EKJS Kelantan 2019 bagi memastikan ia lebih berkesan dalam membendung amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan gejala maksiat.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata walaupun enakmen berkenaan pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha penambahbaikan supaya perlaksanaan undang-undang syariah dapat diperkasa.
“Dalam usaha membendung kemungkaran, kerajaan negeri telah menggubal dan menguatkuasakan EKJS Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam kerana amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau berkata Kelantan tidak akan menjadi tempat normalisasi maksiat yang jelas diharamkan oleh Allah SWT.
Dalam usaha memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan serta beberapa agensi lain.
“Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh, dan antara agensi dalam menangani keruntuhan moral serta tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat,” katanya.
Berikutan itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri turut melaksanakan Program Budaya Komuniti Rabbani bagi memperkukuh kefahaman Islam, menyantuni komuniti berisiko serta membina daya tahan masyarakat terhadap gejala sosial yang menular.
Beliau turut menyeru Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
“Ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda,” katanya.
Mohamed Fadzli menegaskan kerajaan negeri akan terus teguh memelihara kesucian Islam dan kesejahteraan rakyat serta tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba membuka jalan kepada kebebasan tanpa batas yang akhirnya mengundang kehancuran moral.
Terdahulu, polis Kelantan mengesahkan menyerbu satu program berkaitan LGBT melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin di sini pada pertengahan Jun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan mengenai penganjuran pesta makan-makan yang dipercayai dikhaskan untuk golongan gay.
Berikutan itu, hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV di dalam sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan tempat simpanan oleh penganjur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial