KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Lencongan trafik sementara di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dari KM25.75 hingga KM26.4 arah Kuantan (Gombak ke Genting Sempah) telah diaktifkan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun berkata pelaksanaan lencongan itu melibatkan pengalihan laluan sedia ada tiga lorong ke laluan sehala bersebelahan arah Kuala Lumpur, dengan jumlah kapasiti lorong yang sama dikekalkan bagi memastikan kelancaran trafik.
Beliau berkata LLM bersama Syarikat Konsesi AFA PRIME Berhad dan Malaysia Rail Link (MRL) telah menjalankan beberapa siri pemantauan sejak lencongan diaktifkan.
“Hasil pemantauan terkini pada 14 Julai 2025 mendapati aliran trafik di lokasi berkenaan adalah teratur, terkawal dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau reka bentuk Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi pelaksanaan lencongan ini telah disemak dan disahkan oleh juruaudit keselamatan jalan menerusi Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) Tahap 4 Bahagian 1.
“RSA Tahap 4 Bahagian 2 pula dijadual dilaksanakan pada 30 Julai ini bagi menyemak pematuhan pelaksanaan serta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan perkembangan pembinaan di tapak,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda keselamatan di lokasi dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial