KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Peneguhan elemen Qawwam yang menekankan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pelindung keluarga amat penting dalam usaha mengekang kecelaruan nilai serta amalan songsang seperti yang berlaku dalam sebuah program motivasi baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sifat Qawwam yang ada dalam diri pemimpin mampu membendung gejala tidak baik dalam kalangan jagaannya seperti isteri dan anak-anak.
“Jika seseorang lelaki atau pemimpin itu cukup memberikan kasih sayang, memainkan peranan yang sewajarnya terhadap jagaannya, maka perkara (amalan songsang) ini tidak terjadi.
“Apa yang berlaku sekarang ini, mereka (wanita) tidak dapat kasih sayang dan perhatian itu. Jiwa mereka tidak tenang, kononnya ingin cari kebahagiaan dan ketenteraman jiwa, tapi apa yang berlaku mereka terjerumus dalam aktiviti yang menyesatkan akidah seperti yang kita dengar ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Generasi Qawwam ‘Anak Muda Hero Keluarga’ di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Kampus Batu Muda di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Badlishah Sham Baharin.
Mohd Na’im mengulas program motivasi yang didakwa songsang dengan menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Bagaimanapun enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang anak mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret semalam, bagi membantu siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.
Berhubung program hari ini, ia dihadiri 550 peserta yang bertujuan memupuk kefahaman generasi muda terhadap nilai dan ciri-ciri Qawwam sebagai persediaan menjadi pemimpin keluarga dan masyarakat.
Antara pengisian menarik program itu termasuk sesi Inspirasi Qawwam, slot interaktif ‘Siapa Qawwam?’ dan TED Talk ‘Cabaran Generasi Qawwam’ yang memfokuskan peranan lelaki dalam memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial