Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hasil Penyelidikan Bantu Perkasa Tatakelola Negara

18/07/2025 06:53 PM

 

PUTRAJAYA, (Bernama) 18 Julai  -- Inisiatif pembanterasan rasuah melalui kaedah penyelidikan merupakan salah satu usaha proaktif kerana dapatan kajian adalah daripada perspektif dan dimensi yang bebas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, hasil penyelidikan ini juga akan digunakan dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif atau program oleh semua agensi di sektor awam.

“Selain itu, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Kebangsaan dan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) untuk dilaksanakan oleh pemegang taruh terlibat bagi memastikan integriti dan tatakelola negara diperkasakan,” 

“Pemerkasaan usaha membanteras rasuah melalui penyelidikan ini adalah sebagaimana pelan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) iaitu Strategi 3: Suara Rakyat yang dilihat mampu menyambut sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16 iaitu mewujudkan masyarakat aman demi pembangunan mampan.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pra-Persidangan dan Penyelarasan Kertas Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Tahun 2025 yang diadakan pada 16 hingga 18 Julai 2025 di Kinta Riverfront Hotel & Suites Ipoh, Perak.

Seramai 33 penyelidik terbabit terdiri daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknikal Melaka (UTEM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mesyuarat pra-persidangan ini diadakan untuk menyelaras isi kandungan pembentangan kertas-kertas penyelidikan yang bakal dikongsikan bersama umum terutama kepada pemegang taruh di Persidangan Penyelidikan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 yang akan dirasmikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada September tahun ini.

Sebanyak 11 kertas penyelidikan akan dibentangkan pada tahun ini melibatkan 10 entiti penyelidikan daripada kalangan penyelidik yang telah memperolehi geran penyelidikan dari SPRM sejak dari 2023 dan 2024.

Dato’ Indera Junipah berkata, setiap kertas projek penyelidikan yang dibentangkan, akan disaring oleh panel-panel daripada aspek kandungan terutamanya menyentuh hal ehwal perundangan supaya kandungannya selari dengan undang-undang semasa.

Katanya, menerusi hasil projek penyelidikan yang sudah dilengkapkan ini membolehkan Kerajaan dan pemegang taruh lain mengenal pasti bidang-bidang berpotensi yang terdedah kepada rasuah serta cadangan untuk mengatasinya.

Turut hadir Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Dato’ Idris Zaharudin dan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan