IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 605 peket minyak masak bersubsidi bernilai RM1,512.50 dalam serbuan Op Tiris di sebuah premis di Industri Kamunting Aman, Kamuniting, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan kira-kira 4 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN selepas menerima maklumat mengenai penyalahgunaan barang kawalan.
“Hasil pemeriksaan menemukan minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) disimpan di dalam empat tong ais dan beberapa bakul raga di ruang dapur premis yang dipercayai digunakan untuk memasak makanan pekerja warga asing serta turut dijual oleh mereka.
“Siasatan lanjut mendapati pemilik premis, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, didapati memiliki minyak masak peket melebihi had yang dibenarkan dalam lesen pengawal bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan melebihi had yang ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, dan akan meneruskan tindakan tegas melalui inisiatif penguatkuasaan khas “KITA GEMPUR’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial