TUMPAT, 18 Julai (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penduduk di gugusan kepulauan Tumpat, khususnya Pulau Teluk Renjuna, kini tidak lagi perlu bergantung kepada sumber air sungai yang kotor selepas sebuah pam air berteknologi hijau mula beroperasi sepenuhnya hari ini.
Pam berkenaan dibangunkan oleh Yayasan Infaq Infra Malaysia dengan kos sebanyak RM60,000, menggunakan sistem solar berkuasa 3kW dan bateri litium 5kWh, serta turut dilengkapi sistem penuaian air hujan berkapasiti 500 liter.
Pengerusinya Azuhan Fauzi berkata bekalan air bersih itu diperoleh melalui sistem ‘boring’ di Masjid Mukim Teluk Renjuna sebelum ditapis menggunakan tiga sistem penapis utama yang dipasang bersama pam berkenaan.
“Pam ini berupaya menyalurkan sehingga 1,000 gelen air bersih sehari kepada kira-kira 200 buah rumah di pulau ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pam Air Berteknologi Hijau di sini hari ini.
Menurut Azuhan, projek itu bertujuan membantu penduduk pulau yang telah lama berdepan masalah kekurangan bekalan air bersih dan tekanan air rendah.
Sementara itu, seorang penduduk, Paudin Yunus, 69, berkata sejak lebih 20 tahun lalu mereka bergantung kepada air Sungai Kelantan untuk urusan harian berikutan tekanan air yang lemah dan kualiti air yang keruh.
“Kami amat bersyukur dengan kemudahan ini. Ia amat besar ertinya kepada kami yang selama ini terpaksa menggunakan air sungai yang tidak bersih,” katanya.
Bagi Zakaria Rafi, 54, pula, sebelum ini penduduk terpaksa membeli air bersih dari tanah besar dan membawanya menaiki bot.
“Sekarang, semuanya lebih mudah. Kami tidak lagi perlu mengangkut air setiap minggu kerana bekalan sudah ada di pulau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial