KULAI, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor sedang merangka langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan peningkatan kos makanan, pengangkutan dan perumahan khususnya di daerah Johor Bahru dengan perbincangan berkaitan telah diadakan hari ini bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata antara yang dibincangkan ialah usaha meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk meluaskan jaringan Bas Muafakat Johor serta mencari jalan mengurangkan bebanan rakyat susulan peningkatan kos barangan keperluan.
“Berkaitan perumahan, kita menerima maklum balas bahawa kos sewa agak mahal (terutama di Johor Bahru). Maka, seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, kita akan mempercepatkan lagi pembinaan rumah mampu milik menjelang 2030.
“Malah Menteri Besar baru-baru ini memberikan sasaran 100,000 rumah mampu milik dibina di Johor menjelang tempoh berkenaan dan perancangan untuk mencapai sasaran itu sedang giat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis SIRIM Silaturasa 2025 di SIRIM Johor di sini hari ini.
Beliau berkata satu pengumuman juga akan dibuat Onn Hafiz sebagai usaha bagi menangani perkara berkenaan sempena Belanjawan Johor 2026 yang dijangka dibentangkan November ini.
Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan rakyat mengenai peningkatan kos barang keperluan menerusi sesi turun padang dan pemerhatian di media sosial.
“Kita sedar warga Johor bimbang dengan apa yang akan berlaku, memandangkan ekonomi negeri ini sedang berkembang pesat,” katanya.
Onn Hafiz baru-baru ini dilaporkan berkata kos sara hidup di bandar raya Johor Bahru semakin meningkat sehingga mengatasi beberapa bandar raya utama lain di Malaysia.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial