KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Cadangan pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching bersama Ahli Lembaga Perbadanan FINAS, semalam.
Teo, menerusi satu hantaran di Facebook malam ini, berkata cadangan pindaan itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan akta sedia ada terus relevan dengan perkembangan pesat teknologi serta trend baharu dalam penghasilan kandungan digital.
“Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, saya yakin industri kreatif negara berupaya berkembang dengan lebih pesat, inklusif dan mampan.
“FINAS akan terus memainkan peranan penting dalam membina ekosistem yang menyokong bakat tempatan, mendorong inovasi serta mengangkat Malaysia sebagai hab kandungan serantau yang disegani,” katanya.
Pertemuan berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Dalam pada itu, Teo turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan membanggakan Ejen Ali The Movie 2 yang kini secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada drama siri Bidaah yang mencatat lebih 2.5 bilion tontonan menerusi platform digital dan media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial