PERMATANG PAUH, 19 Julai (Bernama) -- Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ia perlu melalui perbincangan bersama Raja-Raja dan setelah dipersetujui barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di sini hari ini.
Anwar berkata tiada hakim yang dipecat sepertimana digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu perlu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.
Pada majlis anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) itu, Anwar melancarkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB sebagai inisiatif membantu golongan Bumiputera Pulau Pinang.
Pelancaran PIPBPP 2026-2035 itu bakal menjadi panduan strategik utama dalam memacu pembangunan komuniti Bumiputera di Pulau Pinang secara berterusan, inklusif dan mampan sepanjang tempoh sepuluh tahun, berdasarkan Rukun MADANI.
PIPBPP dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai perunding dan penyelidik bersama MPBPP.
Program Tunas MADANI pula dirangka dengan objektif khusus membina keupayaan graduan Bumiputera agar beralih daripada bersifat pencari kerja kepada pencipta peluang melalui bidang keusahawanan.
Di bawah Program Tunas MADANI itu juga modul pembangunan keusahawanan yang holistik merangkumi latihan intensif, bimbingan fasilitator/mentor industri, sokongan pembiayaan serta akses kepada pasaran akan disediakan.
Pengerusi MPBPP Tan Sri Khalid Ramli ketika berucap pada majlis itu berkata pihaknya dengan kerjasama UiTM Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 100 graduan menyertai Tunas MADANI fasa pertama, dengan sasaran 80 peratus peserta berjaya menubuhkan perniagaan aktif dalam tempoh 12 bulan.
"Projek Perumahan oleh JKPSB melibatkan pembinaan tiga perumahan dengan jumlah keseluruhan 3,231 unit kediaman di Permatang Pauh melibatkan jumlah kos pembangunan mencecah RM1 bilion,” katanya.
Menurut Khalid, inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada komuniti Bumiputera Pulau Pinang memiliki rumah yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan persekitaran kondusif.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di Facebook, Anwar berkata beliau amat memahami cabaran yang masih dihadapi masyarakat Bumiputera sama ada dalam merebut peluang perniagaan, memperkukuh keupayaan keusahawanan, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti atau dalam soal pemilikan rumah.
“Oleh itu, saya sering tegaskan bahawa kuasa bukan sekadar untuk disandang atau keistimewaan tetapi adalah amanah yang mesti dimanfaatkan sebaiknya demi kebaikan rakyat.
“Peluang yang ada perlu diterjemah melalui dasar, program dan projek yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat. Kerajaan MADANI tampil dengan komitmen yang jelas,” katanya.
Pada majlis itu juga, turut diadakan Program Didik Kasih Peranti MADANI, iaitu satu inisiatif bagi memberi penghargaan kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kenduri rakyat yang menghimpunkan lebih 3,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat, sekali gus melambangkan keakraban dan keterbukaan pemimpin untuk terus bersama rakyat di setiap peringkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial