Oleh Nurul Syahirah Zulkifli
PADANG BESAR, 21 Julai (Bernama) -- Jumlah RM100 mungkin kecil bagi sesetengah orang tetapi bagi Nursyafiqah Sobri, 31, ia menjadi ‘modal berharga’ untuk mengubah hidup keluarganya.
Setiap bulan, suri rumah dari Bukit Keteri di sini itu dengan bijak memperuntukkan sebahagian atau RM30 daripada bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tersebut untuk dijadikan modal membeli bahan membuat kuih bagi tujuan jualan.
“Alhamdulillah, suami saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan layak menerima SARA. Walaupun hanya RM100 sebulan untuk membeli barangan keperluan, ia sangat bermanfaat bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga kami.
“Setiap bulan, saya guna RM30 daripada bantuan ini untuk beli tepung bagi membuat kuih dan selebihnya saya beli keperluan asas seperti beras, biskut dan serbuk minuman,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Nursyafiqah yang mempunyai dua anak berumur enam dan 11 tahun berkata dia menjual kuih tradisional seperti cucur badak, keria, dan popia selain apom yang diletakkan di beberapa kedai sekitar kawasan tempat tinggalnya.
Meskipun hasil perniagaan kuih-muihnya itu hanya kira-kira RM50 hingga RM80 seminggu, dia tetap bersyukur kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu suami menyediakan keperluan keluarga.
“Ada hari kuih habis dijual, ada hari pula tidak tetapi saya tetap teruskan buat kuih ini sebab sekurang-kurangnya ada juga duit masuk,” katanya.
Nursyafiqah berkata dengan gaji RM1,700 sebulan, suaminya menjadi tulang belakang keluarga menyara dua anak mereka serta menjaga ibu bapanya yang tinggal bersama.
Dia berpandangan pemberian SARA adalah langkah tepat kerajaan bagi membantu memenuhi keperluan keluarga yang memerlukan dan ia sangat dinanti-natikan setiap bulan.
“Bantuan bulanan SARA yang diterima suami cukup untuk menampung sebahagian kecil perbelanjaan asas keluarga kami jika dibelanjakan secara berhemat.
“Cuma saya sangat mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan sekiranya pemberian SARA ini dipertingkat jumlahnya dari semasa ke semasa berikutan harga barangan keperluan semakin meningkat,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2025, jumlah bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 bagi tahun ini berbanding RM1,200 tahun lepas.
Inisiatif ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan usaha memperkasakan kehidupan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang adil, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial mencukupi.
Bagi meningkatkan kemudahan rakyat, kerajaan turut memperluas barangan boleh dibeli menggunakan SARA kepada 14 kategori, selain menambah bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar yang mencecah lebih 4,100 premis di seluruh negara setakat Julai 2025, berbanding hanya 700 tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial