PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghargaan luar biasa kepada rakyat dijangka diumumkan pada esok atau Rabu ini.
Beliau berkata sedikit lagi masa diperlukan untuk meneliti pengumuman yang bakal dibuat susulan permukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
"Permukiman itu tentang menjelaskan dasar-dasar kerajaan, di samping itu juga mendengar pandangan dan keluhan masyarakat, yang kemudian menuntut saya untuk memikirkan perubahan-perubahan dan pengumuman yang perlu untuk meredakan tuntutan ini.
"Saya katakan dalam sehari dua ini saya perlu umum (sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya), tetapi perkara itu memerlukan sedikit masa untuk diteliti," kata beliau pada perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Pada 19 Julai lepas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar memberikan bayangan bahawa penghargaan luar biasa yang akan diumumkan melibatkan langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang semakin membebankan.
Anwar mengakui walaupun sesuatu dasar telah dirancang dengan teliti pada peringkat pusat, terdapat persepsi atau disconnect antara pelaksanaan dasar dengan realiti yang dirasai rakyat.
"Apabila kita rancang, kita fikir sudah lakukan sebaik mungkin. Tetapi kadang-kadang pandangan di akar umbi itu, keluhan mereka itu agak berbeza. Seolah-olah disconnect, sebahagiannya kerana dipolitikkan, sebahagiannya kerana penipuan, tetapi ada yang benar dan perlu diberikan perhatian," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar menolak dakwaan bahawa rakyat terbeban akibat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta tarif asas elektrik sambil menyifatkan naratif "tarif naik, cukai naik" sebagai manipulasi fakta yang tidak mencerminkan realiti sebenar.
"Saya tanya, kamu ini wakil rakyat kepada rakyat bawahan atau wakil kepada tauke-tauke? Ada pihak industri besar yang mengeluh, tetapi 85 peratus rakyat dikecualikan (kenaikan)," kata Perdana Menteri.
Anwar berkata pelaksanaan tarif baharu oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) hanya menyasarkan industri yang mencatat keuntungan tinggi manakala pengguna domestik tidak terjejas.
Beliau berkata pelaksanaan tarif baharu elektrik tidak menyebabkan peningkatan kos elektrik secara menyeluruh, sebaliknya telah membawa kepada penurunan kos sebanyak 19 peratus bagi majoriti pengguna.
"Kemudian dia beri pula, kalau guna pada waktu bukan puncak, (kadar) itu boleh dikurangkan. Tetapi yang penting secara keseluruhan apabila dilaksanakan, ini faktanya, (kos elektrik) bukan naik.
“Secara keseluruhan kos elektrik menurun 19 peratus daripada 55.95 sen (Rp3) kepada 45.40 sen (Rp4). Maknanya kalau tengok bil selepas itu, berbanding bulan lepas, kadarnya lebih rendah," kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial