Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HRD Corp Lantik Syed Alwi Sebagai Ketua Eksekutif Baharu

21/07/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 21Julai (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melantik  Dr Syed Alwi Mohamed Sultan sebagai Ketua Eksekutif baharu, berkuat kuasa pada hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, HRD Corp memaklumkan Syed Alwi, 51, membawakan pengalaman lebih 27 tahun dalam kepimpinan strategik merentas sektor perkhidmatan kewangan, teknologi perbankan dan perundingan pengurusan.

"Beliau telah berjaya memacu pertumbuhan organisasi, memperkukuh institusi kewangan dan memperkenalkan penyelesaian inovatif serta berfokuskan masa depan yang sejajar dengan strategi kewangan jangka panjang bagi memberikan impak yang mampan," menurut kenyataan itu.

Syed Alwi pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Berhad (Perbankan Islam), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn. Bhd.

Beliau turut menyandang beberapa jawatan kanan di institusi kewangan terkemuka peringkat global dan serantau termasuk di Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura), and MRANTI Corporation.

Syed Alwi berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang kewangan dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menerima Anugerah Rektor.

Selain itu, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Kelas Pertama dalam kewangan Islam dari UIAM dan menamatkan Program Fintech Oxford di Said Business School, University of Oxford.

"Sepanjang perkhidmatannya, Syed Alwi memainkan peranan penting dalam memperkukuh prestasi operasi dan mencipta nilai kepada pihak berkepentingan sekali gus menerima pengiktirafan atas sumbangannya dalam transformasi korporat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan