Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Pertimbang Kerjasama R&D Pertahanan Dengan Negara Luar - Mohamed Khaled

21/07/2025 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan tawaran kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri pertahanan dengan beberapa negara terutamanya Turkiye bagi memperkukuh keupayaan pertahanan kendiri negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa luar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama itu melibatkan pelbagai aspek termasuk Sistem Keselamatan Sempadan, Sistem Radio Profesional dan Sistem Pertahanan Udara.

“Kerajaan komited untuk memperkukuh keupayaan pertahanan tempatan melalui pendekatan menyeluruh termasuk pembangunan teknologi, sistem persenjataan serta pemantapan modal insan,” katanya menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Kamal ingin tahu langkah kerajaan membina keupayaan pertahanan kendiri dan ketenteraan termasuk pembangunan teknologi senjata tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada kuasa luar dalam menghadapi ancaman masa depan.

Mohamed Khaled berkata antara inisiatif yang digerakkan termasuk pemerkasaan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai pusat kecemerlangan serantau serta penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan turut menstruktur semula Malaysian Industry Council for Defence Enforcement & Security (MIDES) kepada Majlis Strategik Industri Pertahanan bagi penambahbaikan tadbir urus dan pembangunan dasar Program Kolaborasi Industri (ICP) sektor pertahanan yang lebih komprehensif.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dirangka sebagai kerangka strategik bagi memperkasa inovasi dan teknologi tempatan kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijadualkan dibentang kepada Jemaah Menteri Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan