KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Talentbank, peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran siswazah di Malaysia, mengumumkan pemenang Anugerah Pilihan Siswazah (GCA) 2025 sekali gus menegaskan pengaruh suara pelajar dalam membentuk jenama pekerjaan utama negara.
Diiktiraf sebagai anugerah penjenamaan majikan dipacu oleh pelajar yang terbesar di negara, GCA menerima 597,036 undian daripada pelajar di lebih 100 universiti, menetapkan penanda aras baharu dalam ketelusan dan penglibatan siswazah.
Kini, memasuki tahun kelapan, anugerah berkenaan terus mencerminkan pilihan kumpulan bakat masa depan Malaysia.
GCA mengiktiraf majikan yang cemerlang dalam bidang utama seperti peluang pembangunan kerjaya, laluan kepimpinan, kesejahteraan pekerja dan budaya tempat kerja.
Pemenang bagi 2025 merangkumi pelbagai industri termasuk syarikat multinasional, perusahaan tempatan, jenama fesyen, gergasi teknologi, peneraju barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan platform digital, antaranya Petronas, Shopee, Uniqlo dan Maxis.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho berkata anugerah itu merupakan penanda aras penting untuk majikan yang ingin menyelaraskan pendekatan mereka dengan jangkaan siswazah.
"Anugerah Pilihan Siswazah mewakili suara kolektif bakat muda Malaysia. Majikan yang mengambil perhatian terhadap pandangan ini akan mendapat kelebihan daya saing, memahami dengan tepat perkara yang dicari golongan profesional muda dalam perjalanan kerjaya mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dapatan daripada kaji selidik GCA 2025 mendedahkan perubahan ketara dalam keutamaan siswazah generasi Z, yang menekankan walaupun ganjaran kompetitif masih penting, perkara itu bukanlah faktor utama dalam pemilihan kerjaya.
Sebaliknya, siswazah hari ini mengutamakan pengalaman kerjaya yang menyeluruh, dengan memberikan penekanan terhadap kerja yang bermakna, keselamatan pekerjaan, bimbingan, pertumbuhan kerjaya, fleksibiliti dan kesejahteraan mental.
"Organisasi yang memperjuangkan keseimbangan kerja dengan kehidupan, menawarkan latihan berstruktur dan melabur dalam kesejahteraan pekerja kini menjadi pilihan utama dalam kalangan pencari kerja," menurut kenyataan itu.
Talentbank percaya bahawa kerjasama antara universiti dengan industri yang lebih kukuh amat penting bagi merapatkan jurang berkenaan.
Syarikat itu juga terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan rakan korporat bagi menyelaraskan kurikulum dengan keperluan pasaran, di samping menyokong inisiatif latihan amali, latihan dan bimbingan.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun, Talentbank akan melancarkan Career Playbook tidak lama lagi, satu panduan komprehensif yang direka untuk menyokong siswazah beralih ke dunia pekerjaan.
Buku panduan itu merangkumi strategi praktikal, tip perancangan kerjaya, dan pandangan dunia sebenar dalam format bercetak dan digital.
Undian untuk Anugerah Pilihan Siswazah 2026 kini dibuka. Pelajar universiti di negara ini digalakkan mengundi menerusi www.graduateschoiceaward.com/vote untuk menentukan senarai majikan pilihan tahun depan.
Senarai penuh pemenang GCA 2025 boleh didapati melalui https://www.graduateschoiceaward.com/graduates-choice-of-employer-to-work-for-in-2025/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial