Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Sedia Tutup Sekolah Jika IPU Cecah Tahap Sangat Tidak Sihat

21/07/2025 10:19 PM

PEKAN, 21 Julai (Bernama) --  Kerajaan Pahang bersedia menutup sesi persekolahan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini melepasi paras sangat tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata langkah itu susulan dua kawasan di Temerloh dan Balok Baru, Kuantan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menghentikan semua aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Pusat Daerah Mengundi Seri Mahkota serta Penyampaian Sumbangan di Kampung Padang Geroda di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin turut mengingatkan orang awam bahawa individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Berdasarkan maklumat di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), dua stesen pemantauan di Temerloh dan Balok Baru masing-masing merekodkan bacaan IPU 152 setakat jam 6 petang tadi, sekali gus berada pada tahap tidak sihat.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan