Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Makluman, Penumpang Terkedu Mogok Pemandu Bas Ke Singapura

21/07/2025 10:47 PM

JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) --  “Saya terkejut, langsung tidak ada makluman.”

Demikian luahan seorang kakitangan swasta, Saiful Umar, 37, yang antara ribuan rakyat Malaysia terkesan susulan tindakan mogok mengejut oleh kira-kira 100 pemandu bas Malaysia yang beroperasi ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), awal pagi tadi.

Menurut Saiful, beliau tiba di BSI seawal pukul 5 pagi seperti kebiasaan namun terkejut apabila mendapati beberapa perkhidmatan bas tidak beroperasi.

“Tiba-tiba semua pemandu mogok. Langsung tiada makluman atau notis awal. Kami memang tidak bersedia. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan, malah menjejaskan kerja serta imej kami di tempat kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata situasi berkenaan memaksa segelintir penumpang termasuk dirinya untuk berjalan kaki sejauh satu hingga dua kilometer merentas Tambak Johor bagi ke tempat kerja di republik tersebut.

“Memang letih. Bila ramai perlu berjalan serentak, keadaan jadi sesak dan tidak selamat. Kami berharap pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan segera dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Saiful turut memaklumkan beliau terpaksa menumpang rakan untuk pulang ke rumah di Tampoi kerana bimbang kejadian sama berulang pada sebelah petang.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan keadaan sesak di sekitar BSI sekitar pukul 5.30 pagi dipercayai akibat gangguan perkhidmatan bas susulan mogok terbabit.

Difahamkan, mogok itu berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu terhadap penyelarasan struktur gaji dan pemotongan elaun yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang lagi penumpang, K. Ramesh, 40, turut meluahkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku, terutama kepada golongan pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bas.

“Masalah dalaman sepatutnya diselesaikan secara tertutup. Jangan libatkan penumpang yang hanya mahu cari rezeki,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu bas nekad melancarkan mogok sebagai bantahan terhadap penyelarasan struktur gaji baharu yang didakwa menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Seorang pemandu, yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35, mendakwa sebelum ini mereka memperoleh antara RM2,800 hingga RM2,900 sebulan, namun selepas pelarasan, jumlah itu menurun kepada bawah RM2,000.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama di sekitar Tambak Johor sekitar pukul 6.30 petang mendapati operasi bas kembali berjalan seperti biasa dan tiada lagi kelihatan rakyat Malaysia berjalan kaki merentas tambak.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengesahkan kejadian mogok tersebut dan memaklumkan beliau telah melakukan lawatan pemantauan ke BSI selama dua jam bermula 4 pagi.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata lawatan itu turut disertai pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura serta operator-operator bas awam bagi memantau operasi kaunter dan perkhidmatan bas.

Katanya kerajaan negeri turut mencadangkan agar syarikat pengendali bas di Singapura memulakan operasi lebih awal, iaitu seawal 4.30 pagi dan menambah kekerapan perkhidmatan memandangkan jumlah penumpang yang meningkat setiap bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan