Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melaka Terima Lima Menara Telekomunikasi Baharu, Pembinaan Tumpu Kawasan Pelancongan

22/07/2025 01:58 PM

MELAKA, 22 Julai (Bernama) -- Melaka bakal menerima lima menara telekomunikasi baharu dengan pembinaannya akan tertumpu di kawasan pelancongan, bagi menjamin pengalaman kesalinghubungan yang lancar dan berkualiti tinggi kepada pelancong.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia membabitkan Kampung Kuala Linggi, Kampung Paya Lebar, Jonker Street, Taman Botanikal Ayer Keroh dan Pulau Besar.

“Menara berkenaan diterima menerusi pelaksanaan Program Pemberian Sejagat (USP) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Melaka, manakala pembinaannya akan dilaksanakan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang mahu tahu apakah usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mempertingkatkan kualiti Internet di Melaka, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Fairul Nizam berkata sejak 2022, MCMC telah mengaudit 717 lokasi, termasuk 25 kawasan tumpuan pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Beliau berkata lanjutan itu, sebanyak 48 Notis Pematuhan beserta 34 Arahan Suruhanjaya dikeluarkan kepada syarikat pemberi perkhidmatan untuk lokasi tidak mengikut Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan ditetapkan MCMC.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima Arahan Suruhanjaya gagal dipatuhi dan tindakan penalti sivil dikeluarkan terhadap syarikat pemberi perkhidmatan yang terlibat.

“Melalui aktiviti audit ini, syarikat diwajib memberikan cadangan penyelesaian jangka masa pendek dan panjang kepada aduan-aduan yang diterima dan hasilnya, aduan diterima MCMC menurun sebanyak 1,422 aduan pada 2022), 1,243 aduan (2023) dan 355 aduan (2024),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan