Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jabatan Kesihatan Melaka Pantau Tiga Penyakit Berkaitan Jerebu

22/07/2025 06:41 PM

MELAKA, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka memantau tiga penyakit yang sering dikaitkan dengan jerebu berikutan terdapat kawasan di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak Ahad lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata ia membabitkan penyakit asma, jangkitan selaput mata (konjunktivitis) dan jangkitan akut salur penafasan atas (URTI).

“Daripada analisis penyakit akibat jerebu yang dipantau mendapati, tiada trend kenaikan yang ketara bagi penyakit ini dari Minggu Epid (ME) 23 (Jun 2025) hingga ME ke 29 (19 Julai 2025). 

“Bagaimanapun, pemantauan penyakit akibat cuaca berjerebu masih diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Ngwe berkata kerajaan negeri sentiasa peka dengan keadaan semasa cuaca dan sentiasa prihatin terhadap kes berkaitan penyakit akibat jerebu dan akan bertindak mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. 

Beliau berkata bagi pengurusan kesihatan pula, tindakan Jabatan Kesihatan Melaka adalah mengikut garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada 2020.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini menasihati orang ramai terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan penyakit akibat jerebu.

“Antaranya mengurangkan pendedahan kepada jerebu dengan berada di rumah atau dalam bangunan, hadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka sekiranya berada di luar premis dan pastikan hidrasi dengan minum air kosong yang mencukupi,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat pemantauan kesihatan dan tindakan segera sekiranya mengalami gejala sesak nafas, batuk, selsema, mendapat jangkitan selaput mata (konjunktivitis) atau serangan asma dengan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital berdekatan.

Maklumat berkaitan langkah pencegahan kesihatan akibat jerebu boleh dilayari di laman sesawang https//:www.infosihat.gov.my dan www.moh.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan