Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Anjing Liar Ditanam Hidup-hidup, Semua Ikut SOP - MBI

22/07/2025 11:30 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan dakwaan anjing liar yang ditangkap kemudian ditanam hidup-hidup di Pusat Kurungan Haiwan Lahat, seperti yang tular di media sosial dan portal berita baru-baru ini. 

MBI dalam kenyataan menjelaskan tindakan pengebumian haiwan berkenaan merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pengurusan haiwan terbiar yang dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.

“Semua haiwan yang terlibat telah melalui proses Put To Sleep (PTS) secara berperikemanusiaan, berpandukan garis panduan dan perundangan berkaitan.

"Proses PTS dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak yang bertanggungjawab dalam aspek kebajikan haiwan, sebelum pengebumian dilakukan setelah pengesahan kematian diperoleh daripada pihak berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MBI berkata langkah itu bagi memastikan pengurusan bangkai haiwan dilakukan secara selamat serta menepati piawaian kesihatan awam. 

"MBI sentiasa komited untuk melaksanakan pengurusan haiwan terbiar secara beretika, bertanggungjawab dan selaras dengan tatacara agensi berkaitan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dirujuk kepada Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI atau JPV Negeri Perak," menurut kenyataan itu. 

Semalam, tular dua video berdurasi 15 dan 13 saat di laman Facebook Malaysia Homeless Animal Movement yang memaparkan puluhan anjing liar ditempatkan dalam sangkar di atas sebuah lori milik MBI sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

 -- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan