Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Ucap Takziah Tragedi Pesawat Terhempas Di Sekolah Di Bangladesh - PM Anwar

23/07/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah susulan insiden jet pejuang tentera Bangladesh terhempas ke sebuah sekolah di Dhaka, semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 nyawa.

“Hati saya luluh apabila mendapat tahu mengenai nahas jet pejuang yang terhempas di sebuah sekolah di Dhaka. Ramai yang terkorban, kebanyakannya kanak-kanak. Lebih 100 lagi cedera,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut merakamkan penghormatan kepada Maherin Chowdhury, seorang guru yang meninggal dunia selepas bertindak berani menyelamatkan lebih 20 pelajar dari bangunan yang terbakar.

“Keberanian luar biasa beliau tidak akan dilupakan,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau akan menulis surat kepada pemimpin sementara Bangladesh dan pemenang Hadiah Nobel Prof Muhammad Yunus, bagi menyatakan solidariti Malaysia terhadap rakyat Bangladesh.

“Kami sentiasa ada bersama anda dalam saat duka ini. Kami turut bersedih atas setiap nyawa yang terkorban dan keluarga yang terkesan,” kata beliau.

Pada Isnin, sebuah pesawat F-7 BGI yang mengalami masalah teknikal sejurus berlepas, terhempas di bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara Diabari, Dhaka, sekitar 1.15 tengah hari.

Sekurang-kurangnya 31 nyawa terkorban akibat nahas itu, termasuk juruterbang Lt Towkir Islam manakala 165 lagi cedera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan