Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Komuniti MADANI Bantu Pantau Penggunaan Internet Di NADI - Fahmi

24/07/2025 01:16 AM

PAPAR, 23 Julai (Bernama) -- Ahli Komuniti MADANI diminta membantu pemantauan penggunaan Internet di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementeriannya menyediakan kemudahan Internet di NADI supaya penduduk serta pengguna luar bandar mendapat akses kepada maklumat yang tepat dan sahih berkaitan sesuatu isu.

"Kita sediakan perkhidmatan Internet tetapi ada penduduk dan pengguna melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya... sangat tidak membantu," katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI bagi Parlimen Papar di sini hari ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Kementerian Komunikasi amat komited menyediakan kemudahan Internet dengan pembinaan menara di kawasan berpenduduk namun usaha itu tidak bermakna sekiranya Internet tidak digunakan sebaik-baiknya.

Justeru, beliau berkata ahli Komuniti MADANI perlu menjadi pasukan yang mendapat maklumat tepat berkaitan setiap pengumuman kerajaan supaya mereka mampu memberikan penjelasan secara berkesan kepada penduduk setempat berkenaan sesuatu isu.

Mengambil contoh pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Fahmi berkata dalam tempoh 24 jam, sesi penerangan kepada semua ahli Komuniti MADANI termasuk yang menguruskan NADI perlu diadakan supaya mereka faham kandungan pengumuman itu.

Beliau berkata Komuniti MADANI bukan sekadar menjadi 'mata-mata' sahaja tetapi juga sebagai 'mulut-mulut' iaitu mendapatkan pencerahan fakta yang betul sebelum disampaikan kepada masyarakat setempat menggunakan bahasa tempatan.

"Bahasa badan pun sangat penting, itu sebab dalam latihan program asas penerangan, gaya penyampaian ucapan sangat penting.

"Kalau kita nampak yakin, orang akan lebih mudah mendengar penjelasan," katanya.

Fahmi turut meminta NADI mengadakan program kesedaran berkaitan penipuan dan keselamatan dalam talian khususnya kepada kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan