Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Skop Baharu Kontrak Konsesi Penyelenggaraan Libat Juruaudit Bebas - Nanta

24/07/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menambah skop baharu dalam kontrak syarikat konsesi penyelenggaraan dengan memasukkan penglibatan juruaudit bebas bermula tahun depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengauditan pihak ketiga penting bagi memastikan pemantauan tidak hanya bergantung pada Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja, sebaliknya turut melibatkan pihak luar selain meningkatkan akauntabiliti, integriti dan ketelusan.

Beliau berkata kebanyakan kontrak syarikat konsesi akan tamat pada Februari 2026.

“Tanpa juruaudit luar, pemantauan terhadap syarikat konsesi hanya bergantung kepada pegawai JKR  untuk memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Bernama Radio, di sini hari ini.

Nanta menegaskan bahawa rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan jalan yang selamat dan berkualiti selain KKR komited memastikan peralihan kepada sistem baharu bukan sahaja lebih telus, tetapi berkesan dalam menjaga kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Sementara itu, pada program berkenaan Nanta berkata setiap syarikat konsesi penyelenggaraan yang diberi tanggungjawab menyelenggara jalan raya perlu mematuhi kontrak dan melaksanakan tugas mereka dengan cekap dan bertanggungjawab.

Beliau berkata ini kerana masih terdapat pihak yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka meskipun terdapat pelbagai aduan daripada rakyat termasuk gambar dan video yang tular.

“Justeru, saya bersama pegawai-pegawai kanan KKR dan JKR turun padang, menyiasat dan menilai prestasi sebenar di lapangan.

“Kerajaan akan meneliti semula keperluan untuk mengenakan tindakan undang-undang atau penalti terhadap kontraktor atau konsesi penyelenggaraan jalan sekiranya terbukti berlaku kecuaian yang menyebabkan kemalangan maut, terutamanya jika ia berpunca daripada kegagalan melaksanakan kerja penyenggaraan jalan seperti dikehendaki dalam kontrak,” katanya.

Nanta berkata menerusi kontrak penyelenggaraan jalan, terdapat klausa potongan bayaran bagi kontraktor yang gagal melaksanakan kerja termasuk aspek keselamatan jalan.

“Selain itu, kontrak membenarkan penamatan sekiranya kontraktor gagal, cuai, melanggar atau tidak melaksanakan tanggungjawabnya dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rutin selaras dengan kontrak,” katanya.

Mengenai aplikasi MYJalan, Nanta berkata bagi tempoh Ogos 2023 hingga 30 Jun 2025, ia merekodkan 39,371 aduan dengan 11,959  atau 30.4 peratus disaring dan dikenal pasti untuk siasatan dan tindakan agensi bagi jalan raya di bawah seliaan KKR, manakala baki 27,412  atau 69.6 peratus dikenal pasti sebagai aduan No Wrong Door (NWD).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan