Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UDA Sasar Lahir Bakat Muda Boling Menerusi Program CSR ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara'

24/07/2025 08:49 PM

IPOH, 24 Julai (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan untuk melahirkan bakat muda dalam sukan boling menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’, selain memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti.

Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata usaha itu dilaksanakan kerana menyedari penglibatan dalam sukan boling memerlukan kos yang tinggi selain memastikan tiada bakat muda terpinggir akibat kekangan kewangan.

“Sukan boling yang memerlukan perbelanjaan dan kos penyertaan tinggi sering menidakkan peluang bakat-bakat muda yang berada di bangku sekolah terutamanya daripada kumpulan B40 untuk melibatkan diri secara aktif.

“UDA yakin dalam kelompok ini tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya diberi ruang, peluang, bimbingan dan sokongan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media Program UDA Cares Project 'Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara' di Angsana Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata program yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik sektor awam dan swasta itu, dilihat mampu mengangkat sukan boling sebagai platform pembangunan holistik untuk generasi muda dalam membina jati diri, disiplin dan memupuk semangat kesukanan.

Program CSR UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ diwujudkan sejak Februari 2025 dengan mesyuarat pertama diadakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi impak tinggi.

Sesi pemilihan peserta berlangsung pada 10 dan 11 Jun lepas melibatkan 120 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kinta, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Simee, SK Cator Avenue dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack Simee.

Seramai 30 pelajar berpotensi telah dikenal pasti dan kini sedang menjalani latihan intensif selama 16 minggu bermula 16 Jun hingga 6 Okt.

Selain itu, Mohd Annuar berkata peserta terpilih dibimbing bekas atlet sukan boling kebangsaan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, anak kelahiran Ipoh. 

“Pasukan jurulatih yang menggabungkan kepakaran Syaidatul Afifah selaku kapten jurulatih serta dua lagi jurulatih profesional tempatan diharap dapat mencungkil potensi sebenar peserta dan seterusnya mencapai objektif utama program untuk melahirkan juara yang berkualiti dan berdaya saing.

“Selain itu, pemilihan Angsana Ipoh Mall sebagai lokasi rasmi program ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh peranan pusat komersial milik UDA dalam memperkasakan masyarakat setempat, sejajar dengan penjenamaan ‘L.I.F.E.’ iaitu Legacy, Integrated, Fitnesse dan Enrich,” katanya.

Mohd Annuar berkata Angsana Ipoh Mall bukan sekadar destinasi beli-belah, tetapi juga hab komuniti inklusif yang mencerminkan satu daripada peranan UDA iaitu menggalakkan aktiviti keusahawanan di kawasan bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata progam tersebut merupakan kolaborasi UDA dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Yayasan Perak dan turut mendapat sokongan pihak swasta iaitu Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd (pengusaha pusat boling Lite Superbowl JB9 di Angsana Ipoh Mall).

Kemuncak program bakal diadakan pada 12 Okt di Ipoh, merangkumi Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian sempena Hari Sukan Negara serta Karnival UDA 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan