Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

1,482 Pengamal Bertauliah Rancakkan Industri Penjagaan Selepas Bersalin - KPWKM

24/07/2025 08:36 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melatih 2,661 wanita menerusi Program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare dengan 1,482 daripadanya layak ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM4).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri semasa perasmian Majlis Konvokesyen MamaCare keempat yang berlangsung di Serdang, dekat sini hari ini.

Nancy berkata program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare mendapat pengiktirafan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan dibangunkan LPPKN dengan kerjasama Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). 

"Program ini telah berjaya memanfaatkan hampir 60,000 wanita yang telah mendapat perkhidmatan daripada pengamal MamaCare," katanya dalam kenyataan itu.

Program MamaCare merupakan program latihan kapasiti kesejahteraan wanita bagi mengangkat amalan tradisional penjagaan ibu selepas bersalin.

Kemahiran profesional turut memberi pulangan yang signifikan bukan sahaja dalam aspek kewangan kepada pengamal MamaCare, tetapi juga mutu perkhidmatan yang membawa kepada peningkatan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap industri penjagaan ibu selepas bersalin.

KPWKM memaklumkan usaha LPPKN melalui penawaran latihan berstruktur dan bertauliah MamaCare adalah sebahagian daripada komitmen KPWKM dan Kerajaan MADANI dalam mendepani kekurangan tenaga kerja berkemahiran di samping memastikan ia terus kekal relevan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

“LPPKN telah menyediakan lima buah Pusat Penilaian Amali bagi latihan ibu selepas bersalin iaitu di Pusat Keluarga LPPKN Pulau Pinang, Klinik Nur Sejahtera Dungun, Pusat Keluarga LPPKN Seremban, Klinik Nur Sejahtera Kempas dan Ibu Pejabat LPPKN,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan