KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) mengumumkan penajaan berjumlah RM400,000 bagi membekalkan 40 papan pintar digital kepada 35 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat.
Menurut FWD Insurance, inisiatif itu selaras dengan agenda pendigitalan Kementerian Pendidikan (KPM) dan bertujuan menyediakan pelajar dengan ilmu kewangan asas serta alat pembelajaran digital dari peringkat awal.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Mak See Sen bersama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran Mohd Helmy Abdul Najib.
“Pengagihan papan pintar itu selaras dengan Teras 4 dan 6 Dasar Pendidikan Digital KPM, iaitu memperkasakan rakan strategik untuk melengkapkan sekolah dengan infrastruktur bersesuaian bagi membolehkan perlaksanaan pembelajaran secara digital.
“Dasar itu juga selaras dengan inisiatif PPD Keramat di bawah Program Bawa Peranti Anda Sendiri ke Sekolah (BYODS) yang dimulakan sejak 2021,” menurut kenyataan itu.
Menurut FWD Insurance, papan pintar berkenaan telah dipasang di semua sekolah yang terlibat, dan sering digunakan oleh pelajar dalam proses pembelajaran.
"Peranti itu bertindak sebagai alat utama dalam integrasi antara teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di dalam kelas, membuktikan lagi dedikasi FWD Insurance untuk menjadikan ilmu kewangan boleh diakses oleh semua golongan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Mak berkata FWD Insurance berhasrat mengubah tanggapan masyarakat terhadap insurans serta membentuk cara berfikir kanak-kanak dalam merancang masa depan kewangan mereka.
“Kami komited untuk mempersiapkan murid sekolah rendah dengan kemahiran celik kewangan yang penting dan ilmu ini akan kekal bersama sepanjang kehidupan mereka," katanya
Pelaburan dalam papan pintar digital itu, bukan sekadar menyediakan peralatan semata-mata malah turut mengutamakan kestabilan kewangan jangka panjang negara dengan meningkatkan kadar celik kewangan.
Pelaburan terhadap infrastruktur pendidikan ini menyokong pembelajaran yang mampan, seterusnya memastikan murid mendapat kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk membuat keputusan yang betul berkenaan kewangan dan mampu menguruskan risiko dengan cekap.
"Dengan menjadikan semua warga Malaysia menguasai kemahiran celik kewangan, secara langsung kami memperkasakan individu itu dengan ilmu dan alat yang dapat menjamin masa depan kewangan mereka,” katanya.
Mak berkata inisiatif berkenaan mengukuhkan komitmen ESG dan memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi Malaysia dengan membuka luas peluang untuk anak-anak muda, seterusnya dapat menjana kewangan negara yang kukuh dan berdaya saing.
Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan utama FWD dalam melaksanakan komitmen untuk mencetus kesedaran tentang kewangan pada setiap peringkat usia bagi membina jaminan kewangan yang kukuh di Malaysia.
Pada 2024, FWD Insurance melancarkan beberapa projek utama, antaranya: ‘Know Your Money'(Kenali Wang Anda) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), program 'JA SparktheDream' dengan JA Malaysia, dan 'Fun(d) for Uni Life' anjuran Arus Academy.
Kesemua inisiatif itu, termasuk projek tajaan papan pintar digital adalah sejajar dengan matlamat FWD dalam memupuk generasi muda dengan amalan kewangan yang bertanggungjawab sejak usia muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial