KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pelbagai isu termasuk kekurangan infrastruktur penting seperti klinik kesihatan serta masalah kesesakan di sekitar Bandar Tun Razak antara perkara yang akan dimasukkan dalam laporan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata hasil Sesi Libat Urus Awam sempena RMK13 yang diadakan hari ini juga membangkitkan kekurangan taman rekreasi di sekitar kawasan itu.
“Kita di sini untuk mendengar maklum balas yang boleh kita masukkan dalam RMK13. Kita dengar tadi masalah denggi, kesihatan, “crowding” dan kekurangan tempat sukan.
“Kita sering uar-uar amalan gaya hidup sihat, sebab itu perlu memperbanyak taman rekreasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Awam sempena Penggubalan RMK13 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri dalam ucapannya berkata sesi hari ini sangat penting supaya suara dan rintihan rakyat di semua peringkat dapat diberi penelitian oleh kerajaan dan dipertimbangkan.
Beliau berharap sesi itu dapat mengumpul pelbagai pandangan untuk dikaji dan dicadangkan kepada Kementerian Ekonomi.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan penyediaan dokumen RMK13 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar lbrahim.
RMK13 yang menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu adalah dokumen pertama digarap oleh Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial