KUCHING, 25 Julai (Bernama) -- Seminar Antarabangsa Tentang Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim: Perspektif Multidimensi akan berlangsung pada 29 dan 30 Julai ini di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, sempena sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata seminar itu bakal menghimpunkan pembuat dasar, pakar dan pemimpin pemikir dari dalam dan luar negara.
“Matlamat utama seminar ini adalah untuk meningkatkan pemahaman terhadap hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim yang semakin kritikal hari ini,” katanya dalam kenyataan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau berkata pendekatan Islam turut diketengahkan dalam mencari kaedah terbaik menangani isu perubahan iklim serta mendorong masyarakat tempatan dan global untuk bersama-sama merangka strategi bersepadu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan seminar berkenaan dan menyampaikan ucaptama bertajuk “Keseimbangan Antara Keperluan Pembangunan dan Pemeliharaan Alam Sekitar: Pengalaman Sarawak dan Hala Tuju Masa Depan”.
Dr Abdul Rahman berkata seminar itu dijangka menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk wakil kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti, pelajar dan delegasi antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial