Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Polis Kutip Lebih RM44,000 Saman Trafik Tertunggak Warga Asing Di Padang Besar

25/07/2025 04:33 PM

PADANG BESAR, 25 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM44,730 berjaya dikutip dalam tempoh lima hari pelaksanaan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) yang dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata operasi itu melibatkan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

“Sebanyak 27 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini menyasarkan warga asing yang mempunyai saman trafik tertunggak. 420 kenderaan milik warga asing diperiksa dan hasilnya 299 saman atas pelbagai kesalahan berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di pintu masuk dan keluar ICQS Padang Besar di sini hari ini.

Mohd Shokri berkata saman tertunggak yang berjaya diselesaikan itu merangkumi kesalahan memandu melebihi had laju melibatkan 237 saman, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (25 saman), tidak mematuhi syarat permit (17 saman) serta tiada lesen memandu dan beberapa kesalahan lain (20 saman).

Beliau berkata kutipan tertinggi bagi saman tertunggak itu membabitkan sebuah van milik warga asing yang mempunyai 36 saman tertunggak bernilai RM5,780, yang diselesaikan sepenuhnya di lokasi operasi.

Sementara itu, Mohd Shokri berkata sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, IPD Padang Besar merekodkan 5,027 saman trafik dengan 1,899 daripada jumlah itu berjaya diselesaikan melibatkan kutipan hasil pembayaran saman setakat ini berjumlah RM183,230.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan