Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ANGKASA Mahu ICA-AP Tingkat Usaha Bantu Pasarkan Produk, Perkhidmatan Koperasi Di Asia Pasifik

25/07/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mahu Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) meningkatkan usaha membantu memasarkan produk dan perkhidmatan koperasi dalam kalangan negara rantau Asia Pasifik.

Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata kolaborasi menyeluruh antara koperasi serantau adalah penting untuk mempertingkat akses pasaran antara koperasi dengan koperasi (C-2-C).

“Koperasi rantau Asia Pasifik perlu memainkan peranan signifikan untuk memperhebat kolaborasi jangka panjang, kemudahan akses pasaran dan insentif yang dapat merangsang pengeluaran serta pemasaran produk dan perkhidmatan dalam pelbagai sektor perniagaan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan ANGKASA hari ini.

Menerusi kenyataan sama, ANGKASA memaklumkan cadangan itu dibangkitkan Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan Pengerusi Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP sewaktu menghadiri Mesyuarat Lembaga ICA-AP serta bengkel antarabangsa yang berlangsung di Guangzhou, China bermula Rabu lepas dan berakhir hari ini.

Pada mesyuarat itu, Anggota Lembaga ICA-AP turut mengucapkan tahniah kepada Abdul Fattah atas pemilihan semula sebagai Presiden ANGKASA bagi penggal 2025–2028, selain menzahirkan penghargaan kepada beliau atas sumbangannya dalam memperkukuh gerakan koperasi di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Menurut ANGKASA, ICA-AP kini mempunyai 120 anggota daripada 29 negara, dengan Mesyuarat Lembaga ICA-AP itu dihadiri wakil pemimpin koperasi dari rantau Asia-Pasifik termasuk China, Filipina, India, Iran, Jepun, Korea, Malaysia, Nepal dan Sri Lanka.

Kenyataan sama memaklumkan sewaktu Mesyuarat Pelan Strategik ICA-AP 2026-2030, Abdul Fattah menekankan keperluan merangka serta memuktamadkan hala tuju koperasi Asia Pasifik bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Hala tuju itu perlu inklusif, mampan serta memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap gerakan koperasi sebagai gaya hidup selain pengukuhan perniagaan koperasi di peringkat serantau dan global," kata Abdul Fattah.

ANGKASA turut menyatakan komitmen dalam mengukuh serta memperluas pasaran produk koperasi tempatan ke peringkat global, dengan menyifatkan penyertaan aktif badan puncak gerakan koperasi negara itu di peringkat antarabangsa adalah komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh gerakan koperasi serantau dan global.

"Ïa selari dengan peranan ANGKASA dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, demi meningkatkan potensi koperasi dalam aspek perniagaan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi gerakan koperasi serta hala tuju pembangunan gerakan koperasi rantau Asia Pasifik," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan