Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TYT Pulau Pinang Tekad Turun Padang Dengar Denyut Nadi Rakyat, Bukan Sekadar Simbol Negeri

25/07/2025 05:19 PM

Oleh R.Ratcharathan

(Bernama akan mengeluarkan siri laporan temu bual eksklusif bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib. Laporan ini yang pertama daripada siri laporan tersebut.)

GEORGE TOWN, 25 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib menzahirkan komitmen tinggi untuk mendekati rakyat negeri itu secara langsung, selaras dengan peranannya sebagai simbol perpaduan dan suara penyatuan antara pemimpin serta masyarakat.

Meskipun tidak lagi berada di barisan hadapan politik, beliau percaya bahawa keberkesanan kepimpinan tetap bergantung kepada keupayaan mendengar denyut nadi rakyat serta memahami realiti kehidupan mereka.

Berbekalkan pengalaman selama 17 tahun sebagai Menteri Besar Perak dari 1982 hingga 1999, Tun Ramli juga yakin dapat membawa pendekatan berpaksikan rakyat dalam peranannya sebagai TYT Pulau Pinang kesembilan, sejak mengangkat sumpah pada 1 Mei.

“Saya juga kadang-kala kena turun padang, mesra dengan rakyat sejauh mana yang boleh sebagai TYT kerana jika kita tidak mengetahui atau mesra dengan mereka, rakyat tidak akan open up, mereka simpan sahaja. Ini sesuatu yang tidak baik dan tidak sepatutnya berlaku.

“Sikap saya juga mengenali ‘cita rasa’ bukan sahaja dari segi makanan, tetapi juga dari segi praktis dan adat mereka, kerana saya rasa kalau saya di sini saya mesti mengetahui mereka, perasaan mereka.

“Dengan itu, sikit-sikit akan jadi orang Pulau Pinang,” kata beliau dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Temu bual itu dikendalikan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Bernama Pulau Pinang R.Ratcharathan, di Seri Mutiara di sini.

Selaku tokoh berpengalaman dalam kancah politik dan pentadbiran negara, Tun Ramli berkata semua pemimpin juga harus mengamalkan prinsip “turun padang dekati rakyat” agar boleh memahami kehendak atau masalah mereka dan membantu menyelesaikan mengikut kapasiti masing-masing.

Tun Ramli berkata segala peranan dan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Negeri sudah tertera dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang secara am, namun bagi dirinya, TYT merupakan sebahagian daripada kerajaan yang mempunyai hak untuk mengetahui tentang situasi negeri, selain menjalankan tugas-tugas rasmi.

“Kalau kerajaan bersidang, maksudnya TYT lah bersidang, kalau exco-exco bersidang, maknanya TYT juga bersidang pada amnya, kerajaan itu adalah bersama. TYT juga mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku dan mempunyai kuasa untuk menasihatkan kalau boleh perkara-perkara yang tidak seharusnya berlaku contohnya,” kata beliau.

Sebagai TYT Pulau Pinang, Tun Ramli bukan hanya mahu menjadi sekadar simbol negeri tetapi sebagai jambatan antara pemimpin dan rakyat, sekali gus suara yang menasihati dan menyatukan.

Ketika ditanya saat pertama beliau menerima berita pelantikannya sebagai TYT, Tun Ramli berkata namanya pernah “naik” beberapa kali sebelum ini termasuk empat tahun lepas, namun tidak menerima panggilan rasmi daripada mana-mana pihak.

Justeru, walaupun mengakui mempunyai harapan apabila namanya disebut-disebut dalam media tempatan kali ini, tetapi beliau tidak menaruh harapan yang tinggi sehingga menerima pelantikan secara rasmi.

Pada 24 April, Tun Ramli menerima surat cara pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Istana Negara.

Beliau menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bermula 1 Mei 2021 dan merupakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang keempat yang bukan berasal dari negeri itu.

Tun Ramli dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak selepas menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah pada 1978, sebelum mengorak langkah selaku Menteri Besar Perak kelapan dan berkhidmat selama lebih 17 tahun dari 1982 sehingga 1999.

Pada penghujung 1999, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mulai 2004 hingga 2008.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan