Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun Bawa Reformasi Ekosistem Padi Beras Negara

25/07/2025 08:21 PM

JERLUN, 25 Julai (Bernama) -- Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Kedah akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu sekali gus akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memperkukuh kadar sara diri beras negara.

“Inisiatif ini amat dekat di hati saya. Justeru, pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting bagi meningkatkan keupayaan pesawah tempatan serta memastikan hasil tuaian yang lebih mampan,” kata beliau dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menyeru kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar terus bertindak dengan segera dan secara bersepadu, untuk menjayakan agenda penting tersebut.

Beliau berkata kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara pesawah, memahami keperluan mereka dan berazam untuk terus memperkasakan sektor ini melalui pelbagai sokongan serta inisiatif berterusan.

Anwar berkata perkara itu juga, membuktikan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam membela nasib petani selaku tulang belakang sektor agromakanan negara.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengadakan lawatan kerja ke sebuah projek utama pembangunan infrastruktur di bawah Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun, di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam dekat sini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan MADA, lawatan Perdana Menteri itu merupakan kunjungannya kali kedua ke tapak projek tersebut, bagi meninjau kemajuan semasa pembangunan infrastruktur pertanian.

Ia sebagai persediaan ke arah pelaksanaan pertanian pintar, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh bekalan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

“Projek yang sedang dilaksanakan ini, memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran serta pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi.

“la dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam Swasta, yang bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah mampu meningkatkan hasil produktiviti pesawah dan menambah pendapatan mereka,” menurut kenyataan MADA.

MADA memaklumkan bahawa program itu juga dilihat sebagai usaha strategik untuk membawa reformasi besar dalam industri padi dan beras negara, sejajar dengan matlamat Kerajaan MADANI.

Kenyataan itu memaklumkan dengan pelaksanaan lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun, negara dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi komoditi strategik ini.

Projek pembangunan itu merangkumi dua komponen utama, iaitu pembinaan dan penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (Projek 1) serta Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 (Projek 2), yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah sekitar RM1 bilion.

“Pelaksanaannya dijangka memberi pesawah harapan untuk mendepani cabaran perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia dan juga negara kita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan