CYBERJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam mengenai Cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi bagi Tujuan Siasatan (Cadangan Kerangka Pengawalseliaan).
Inisiatif berkenaan susulan pindaan terkini kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dengan pengenalan seksyen 252A, 252B dan 268A yang telah berkuat kuasa Februari lepas.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan baharu itu memberikan asas perundangan bagi penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi bagi menyokong siasatan jenayah.
"Dalam era iaitu ancaman dalam talian seperti penipuan, pemalsuan, buli siber dan gangguan semakin berleluasa dan rumit, adalah amat penting bagi agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendapatkan akses kepada data sahih, boleh dipercayai dan tepat pada masanya bagi menyokong siasatan mereka secara berkesan.
"Akses kepada data yang tepat dan boleh dipercayai penting untuk menjaga keselamatan orang ramai dan negara," menurut agensi itu.
Cadangan Kerangka Pengawalseliaan itu juga bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa, memberikan panduan yang jelas kepada syarikat penyedia perkhidmatan dan dalam masa sama memastikan privasi orang ramai terus dilindungi menerusi peraturan dan proses yang telus.
Tempoh rundingan awam itu dibuka mulai hari ini hingga 8 Ogos depan dan MCMC menggalakkan penyertaan pihak industri, masyarakat sivil dan orang awam dalam proses tersebut.
"Ini merupakan peluang penting bagi para pemegang taruh memberikan maklum balas dan menyumbang kepada pembangunan satu kerangka pengawalseliaan yang seimbang, inklusif serta sejajar dengan keperluan penguatkuasaan negara dan piawaian perlindungan data global," menurut MCMC.
Kertas Rundingan Awam Cadangan Kerangka Pengawalseliaan untuk Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi boleh didapati di pautan : https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/publicconsultation-paper-on-retention-preservat
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial