Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kedai Buku Terapung Doulos Hope Di Labuan Tarik 25,000 Pengunjung, Jana Ekonomi Tempatan

25/07/2025 10:58 PM

LABUAN, 25 Julai (Bernama) -- Kehadiran kedai buku terapung Doulos Hope di sini bukan sahaja berjaya memukau imaginasi komuniti tempatan malah membawa bersamanya manfaat besar daripada segi budaya dan ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata Doulos Hope telah mewujudkan satu avenue alternatif untuk penglibatan komuniti tempatan sekali gus membolehkan mereka bukan sekadar merasai pengalaman mengunjungi pesta buku terapung malah menaikinya serta menyaksikan kehidupan unik dan misi anak kapal itu yang terdiri daripada lebih 100 sukarelawan dari 30 negara.

“Ia bukan hanya kedai buku terapung tetapi juga jambatan antara budaya… penduduk Labuan menikmati peluang yang jarang diraih untuk bertemu dan berinteraksi dengan sukarelawan dari seluruh dunia sekali gus memperkaya perspektif mereka,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi kapal itu.

Dr Zaliha juga berkata kapal itu telah menarik kehadiran yang berterusan daripada golongan kanak-kanak hinggalah warga emas selain kumpulan pelancong.

“Saya sendiri menyaksikan kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus menaiki kapal ini, semua teruja untuk meneroka apa yang ditawarkan oleh Doulos Hope… saya gembira melihat semangat ingin tahu dan perpaduan yang dibawa oleh kapal ini ke tanah air kita,” katanya.

Beliau juga berkata limpahan ekonomi turut terhasil daripada kehadiran Doulos Hope apabila kru dan sukarelawan terbabit sering berkunjung ke kedai makan, kafe dan kedai serbaneka tempatan bagi membeli bekalan untuk dibawa pulang ke kapal serta menyumbang kepada pendapatan peniaga kecil.

Pengarah Doulos Hope Nidhin Sebastian pula berkata sambutan orang ramai amat memberangsangkan dan hampir  25,000 pengunjung dicatat sejak ketibaan kapal itu di Labuan. 

“Kami amat berbesar hati dapat menyambut begitu ramai pengunjung ke kapal ini… sambutan hangat dan layanan mesra penduduk Labuan benar-benar menyentuh hati kami dan kami begitu menghargainya,” kata beliau.

Kapal itu akan berlabuh di Labuan hingga 28 Julai ini dan meneruskan misinya untuk menyebarkan ilmu, bantuan serta harapan menerusi buku selain membantu interaksi antara budaya. 

Masuk adalah percuma dan lebih 2,000 judul buku ditawarkan kepada orang ramai pada harga yang berpatutan.

Lawatan Doulos Hope adalah sebahagian daripada siri jelajahnya di Asia Tenggara dan Labuan merupakan antara persinggahan paling berjaya setakat ini daripada segi jumlah kehadiran orang ramai selain penglibatan komuniti tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan